KUALA LUMPUR - Hanya Peguam Negara yang akan menentukan tindakan berhubung siasatan video intim membabitkan bekas Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan individu didakwa mirip seorang menteri kanan.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu termasuk mendakwa pihak terbabit di mahkamah atau menggugurkan kes berdasarkan siasatan polis.
"Peguam Negara akan menilai apakah yang dibuat oleh polis itu memberikan suatu isyarat tentang tindakan undang-undang yang perlu diambil atau tidak.
ARTIKEL BERKAITAN:
Haziq mahu rayu keputusan pemecatan dalam PKR
Kes Haziq masih dalam siasatan polis: KDN
‘Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini...’ – Azmin
"Jadi saya tak boleh ramalkan kerana itu bersandarkan apa yang Peguam Negara nanti akan putuskan nanti,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, pihaknya tidak dapat meramalkan sebarang tindakan yang akan dikenakan selepas siasatan selesai dijalankan.
Sehubungan dengan itu, Muhyiddin menolak sebarang andaian berkaitan kes berkenaan sebaliknya meminta semua pihak menunggu keputusan muktamad mengenai siasatan tersebut.
"Itu kita tak boleh ramalkan jangan kita buat andaian sehingga ada keputusan muktamad,” ujarnya.
Tambah Muhyiddin, beliau berharap siasatan itu tidak akan mengambil masa yang lama sehingga bertahun-tahun.
"Saya tak fikir siasatan itu mengambil masa bertahun-tahun. Itu tak munasabah, tapi kalau minggu logik,” katanya.
Muhyiddin berkata, kerajaan juga tidak memberi sebarang tekanan kepada pasukan petugas khas untuk segera menyelesaikan siasatan kes tersebut.
Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan kes berkenaan memerlukan tempoh masa yang panjang dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.