Johor ubah keputusan had umur belia

Iklan
Sheikh Umar Bagharib Ali

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri mengubah pendirian dengan menyokong pindaan umur belia 15 hingga 30 tahun selaras keputusan kerajaan Persekutuan dalam pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668).

Perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dipengerusikan sendiri Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal hari ini.

Iklan
Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, isu berkenaan telah dibangkit dan dibincangkan secara tuntas selain mengambil kira keresahan serta maklum balas di peringkat akar umbi.

"Hasil perbincangan ini, kerajaan negeri telah mengambil maklum dan akan membantu menyelaraskan hal ehwal teknikal di peringkat negeri bersabit dengan keputusan tersebut.

Iklan

"Kita menyedari bahawa perubahan melibatkan Akta 688 ini pastilah akan memberi implikasi dalam keseluruhan pergerakan belia termasuklah dari aspek keabsahan pendaftaran pertubuhan belia (ROY) dan sebagainya.

"Ingin saya tegaskan sekali lagi, pindaan ini adalah pindaan akta yang terkait langsung dengan soal perundangan. Ia bukan sekadar dasar sepertimana Dasar Belia Negara yang pernah dilancarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2015 yang lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Iklan

Sheikh Umar berkata, kerajaan negeri juga tidak mempunyai masalah dan akan terus membantu fasilitasi bagi melancarkan proses ini.

"Mengikut Menteri Belia dan Sukan, tarikh pewartaan adalah pada 31 Disember 2021. Tempoh dua tahun ini adalah mencukupi bagi pihak kerajaan negeri menyemak dan memperluaskan perkara ini ke peringkat akar umbi.

"Saya berpendapat isu ini telah selesai dengan hasil sangat positif. Saya amat berterima kasih dengan menteri besar dan barisan Exco yang komited untuk merealisasikan sebuah perubahan dilihat bakal memanfaatkan belia serta anak muda seluruh negara," katanya.

Semalam, Sahruddin dalam kenyataannya menegaskan kerajaan negeri akan kekal dengan had umur belia di negeri ini antara 15 tahun hingga 40 tahun bagi memastikan pelan perancangan dirangka khususnya melibatkan belia tidak terbantut.

ARTIKEL BERKAITAN Had umur belia di Johor kekal 15 hingga 40 tahun