IPOH - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Perak telah selesai menjalankan siasatan ke atas Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc).
Pengerusinya, Leong Cheok Keng berkata, mereka kini dalam peringkat untuk menyiapkan laporan sebelum dibentang di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan ini.
Beliau berkata, pihaknya juga akan mengemukakan cadangan usul kepada Speaker DUN, Datuk Ngeh Koo Ham bagi membolehkan laporan tersebut dibahaskan.
"Ini merupakan perkara bersejarah kerana belum pernah ada usul dibawa ke dalam Dewan berkaitan MB Inc.
"Usul ini akan membincangkan beberapa perkara dan tajuk usul ini adalah Penambahbaikan Urusan Pentadbiran dan Pengurusan Perbadanan MB Inc," katanya kepada pemberita di Bilik Sidang Media DUN Perak, di sini, hari ini.
Hadir sama pada sidang media itu, Timbalan Pengerusi PAC, Chong Zhemin bersama empat ahli PAC Perak yang lain.
Cheok Keng berkata, sebarang tindakan lanjut berkaitan laporan tersebut akan diputuskan oleh Koo Ham dan ADUN yang akan bersidang tidak lama lagi.
Menurutnya, sejak siasatan yang bermula November tahun lalu, PAC telah memanggil enam saksi termasuk bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memberikan keterangan.
"Kita akui terdapat kelewatan untuk menyiapkan siasatan disebabkan pada peringkat awal berlaku salah faham mengenai prosiding siasatan yang ingin dibuat secara terbuka atau sebaliknya.
"Namun, kita menghormati semua pandangan dengan meneruskan siasatan melalui prosiding secara tertutup walaupun Speaker DUN telah menetapkan bahawa PAC boleh jalankan prosiding secara tertutup atau terbuka," katanya.
Pada 26 November 2018, Zambry mempertikai tindakan PAC Perak yang bertindak mengadakan sesi pendengaran awam bagi siasatan ke atas perbadanan itu kerana tidak mengikut amalan biasa.
Dalam pada itu, Cheok Keng menjelaskan terdapat dua lagi kes yang akan disiasat PAC iaitu pertama membabitkan pengurusan Taman Teman Studio Animasi (MAPS) dan kes tuntutan sebuah firma arkitek ke atas Perak Corporation Berhad (PCB) bernilai RM9.5 juta.