‘Ini kerusi DAP, tak perlu parti lain dalam PH’

Iklan
Leong Ngah Ngah

KUANTAN – Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah tidak bersetuju cadangan mempertimbangkan calon Bersatu untuk bertanding PRK Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari depan.

Menurutnya, cadangan Ketua Cawangan Armada Bersatu Sungai Koyan, Samsul Nizam Abd Rahim tidak boleh diterima berikutan kerusi Parlimen berkenaan adalah milik DAP.

Iklan
Iklan

"Ini kerusi DAP, tak perlu nak letak calon daripada parti lain dalam PH. Kerusi itu adalah hak DAP seperti yang dipersetujui dalam PH dan calon daripada DAP lebih layak bertanding di situ,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.

Ngah Ngah berkata, pihaknya sudah bersedia untuk merampas kerusi Parlimen Cameron Highlands dan itu yakin mampu memecahkan penguasaan BN sekali gus menamatkan penguasaan parti itu sejak 2004.

Iklan

"Untuk dua PRU sebelum ini, kita sudah kurangkan bilangan majoriti calon BN. Kalau tidak silap BN menang dengan majoriti kurang 1,000.Melihat angka ini mungkin kita mampu untuk menang.

"Malah, kita akan buktikan bahawa calon kita layak untuk memberi perkhidmatan kepada pengundi di sana dan persiapan menghadapi PRK sudah dibuat,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, menurutnya, M Manogaran adalah calon paling layak untuk bertanding semula bagi menghadapi PRK bulan depan.

"Manogaran sudah dikenali, maka adalah lebih baik membenarkannya bertanding semula. Tapi keputusan muktamad mengenai calon terletak pada tangan pemimpin DAP dan PH,” katanya.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan BN bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU14 adalah terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

M Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan memohon pengisytiharan bahawa keputusan PRU14 untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.