SHAH ALAM - Chef Selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan yang dinobatkan sebagai Tokoh Ikon Felda 2019 lebih rela menyerahkan semula anugerah tersebut berbanding membuat permohonan maaf berhubung kritikan pedasnya terhadap segelintir peneroka Felda.
Chef Wan yang membuat kenyataan di Instagram miliknya hari ini berkata, sekiranya beliau membuat permohonan maaf sekalipun, permohonan maaf itu hanya untuk sebahagian individu yang terkesan dengan kritikannya itu.
"Bagaimana kamu perlu memohon maaf untuk perkara yang kamu tidak kata secara umum tetapi hanya untuk sebahagian individu di luar sana.
"Sebenarnya, saya lebih rela serah balik anugerah itu daripada memohon maaf walaupun tiada benda yang perlu untuk memohon maaf sebabnya perkara yang benar berlaku semasa saya membesar di Felda. Sejak bila memberitahu perkara yang benar merupakan satu kesalahan,” katanya.
Malah Chef Wan berkata, beliau sudah memberitahu pengurusan Felda untuk memulangkan anugerah itu sekiranya ia merupakan jalan terbaik bagi menggembirakan semua pihak.
"Saya beritahu Felda tadi rasa macam esok nak pulangkan balik anugerah itu. Jadi orang yang tidak suka dengan pandangan saya yang diputar belit akan membuatkan mereka gembira dan puas,” katanya.
Kritikan pedas Chef Wan mengundang kontroversi selepas tidak sampai 24 jam beliau menerima anugerah tersebut pada sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan di Felda Selancar 3. Rompin Pahang Ahad lalu.
Chef Wan membuat kritikan pedas dengan menyifatkan segelintir peneroka Felda malas bekerja dan mengharapkan bantuan kerajaan.
Malah, Chef Wan melalui Instagram miliknya turut mengkritik sikap buruk peneroka Felda yang akan berpoligami selepas mendapat dividen dan kemudian beranak seperti kucing.
Rentetan itu, pelbagai pihak mahu Chef Wan memohon maaf dan ada yang berpendapat bahawa anugerah yang diberikan itu wajar ditarik semula.