HULU SELANGOR - Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) berhasrat menukar nama Bukit Kutu kepada Gunung Kutu bagi menambah nilai komersial lokasi aktiviti sukan lasak itu.
Yang Dipertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin berkata, pihaknya akan membuat permohonan rasmi melalui Jabatan Perhutanan bagi tujuan tersebut.
"Bukit Kutu ketinggian 1,053 meter dari aras laut adalah destinasi popular kalangan penggemar mendaki gunung. Ketinggian tersebut dikategorikan sebagai gunung dan apabila ditukarkan nama kepada Gunung Kutu, ia akan memberi tambah nilai komersial untuk pelancongan.
"Tempoh pendakian ke puncak juga mengambil masa antara tiga hingga lima jam mengikut kadar kelajuan seseorang pendaki. Tidak sesuai lagi dipanggil bukit kerana biasanya kalau bukit kita mendaki dalam tempoh satu jam sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Program Pemurnian Premis Pelancongan (P3S) oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari di Taman Tasik Millenium di sini semalam.
Hadir sama, Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.
Menurutnya, Sungai Pertak di laluan masuk ke Bukit Kutu berpotensi dibangunkan dengan kemudahan asas lebih baik termasuk bilik salin pakaian, tandas, gerai dan surau seperti di Gunung Angsi, Negeri Sembilan.
"Penganjuran acara larian di situ pada 21 Julai di Bukit Kutu pasti memberi impak positif kepada eko pelancongan setempat apabila turut disertai peserta dari luar negara dan bukit itu juga antara lokasi bersejarah di daerah ini," katanya.