PEMAIN tengah skuad hoki negara, Muhammad Marhan Mohd Jalil mengakui tidak menjadi masalah bagi pasukan itu, sekiranya terpaksa bertemu dengan pasukan yang handal dalam aksi ‘playoff’ kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Malah, pemain berusia 29 tahun dari Muar itu berkata, skuad ‘Malaysian Tigers’ itu akan mengerahkan segala kudrat mereka, dalam menjayakan misi layak ke Sukan Olimpik selepas 20 tahun.
"Bagi saya itu tiada masalah untuk kami cuba sedaya upaya, dan kami akan cuba yang terbaik untuk layak ke Olimpik, walaupun kita jumpa dengan pasukan-pasukan kuat. Kita buat persiapan rapi dari sekarang, untuk mempamerkan aksi terbaik November nanti,” katanya.
Semalam, ketua jurulatih Roelant Oltmans berkata Malaysia yang menduduki ranking ke-12 dunia, berkemungkinan besar bakal berjumpa dengan salah negara iaitu Jerman (7), New Zealand (8), Sepanyol (9) atau Kanada (10) pada pusingan kelayakan terakhir Olimpik, November ini.
Mengulas lanjut, Marhan berkata bahagian serangan skuad itu juga menunjukkan peningkatan selepas seminggu berguru dengan bekas penyerang handal Australia, Michael McCann.
"Dari segi serangan, posisi dan keserasian antara pemain di dalam kotak D nampak meningkat dan kita akan tengok ketika jelajah Eropah, adakah situasi itu baik dan positif serta adakah perlu ditingkatkan,” katanya.
Skuad Malaysian Tigers akan berlepas ke Eropah pada 21 Julai ini bagi mengadakan beberapa perlawanan ujian dan persahabatan dengan pasukan Jerman, Sepanyol, Belanda, Belgium, England dan Ireland, sebagai persiapan menghadapi saingan kelayakan terakhir Olimpik.
Selepas jelajah Eropah, skuad negara akan mengambil bahagian dalam perlawanan ujian pra-Olimpik di Tokyo dengan pasukan Jepun, Australia dan New Zealand dari 19 hingga 23 Ogos ini.
Sementara itu, rakan sepasukannya, Meor Muhamad Azuan Hasan mahu semua pemain pasukan itu, meneruskan momentum selepas muncul naib juara FIH Siri Akhir Lelaki, pada awal Mei lalu sehingga aksi kelayakan November ini.
"Bagi saya keputusan (pada jelajah Eropah) penting untuk mempengaruhi kita ke aksi kelayakan, jadi kena main ikut taktikal dalam persiapan ke kelayakan Olimpik. Saingan memang agak sengit, kerana akan beraksi menentang negara-negara seperti Sepanyol dan Jerman.
"Jadi ini satu peluang yang baik bagi kita untuk menimba pengalaman dan meningkatkan prestasi kita, kerana berkemungkinan besar akan jumpa pasukan dari Eropah pada November ini,” katanya.- Bernama