MELAKA TENGAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) Melaka mendapati pasaran telur ayam di negeri ini mencukupi dan berada pada harga yang munasabah.
Pengarahnya, Jaiya Abu berkata, setakat ini tiada sebarang aduan diterima mengenai masalah bekalan tersebut dan pihaknya tetap akan meneruskan pemantauan khusus mengenai senario bekalan dan harga telur seluruh negeri.
"Tiada isu telur ayam tidak mencukupi, cuma tempoh hari kita dimaklumkan harga telur mengalami kenaikan. Hasil tinjauan di beberapa buah pasar raya di negeri ini juga mendapati harga ayam dijual pada harga munasabah sehingga ada yang menurunkan kadar harga
"Jadi kita di peringkat KPDNHEP Melaka mengadakan perjumpaan bersama agensi terlibat iaitu Jabatan Perkhidmatan Veterina dan mendapati antara faktor adalah kenaikan harga makanan ayam yang diimport selain faktor tukaran wang asing," katanya.
Jaiya berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2018 di Pasaraya Aeon Mall Bandaraya Melaka di sini, hari ini.
Dalam pada itu, menurutnya, KPDNHEP menguatkuasakan tarikh pelaksanaan Skim Kawalan Harga bermula pada 23 Disember (hari ini) sehingga 27 Disember ini sebagai langkah menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan Krismas pada 25 Disember ini.
"Kementerian mengenal pasti sebanyak 11 jenis barangan bagi pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2018 yang terdiri ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam belanda, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing dan bebiri bertulang import, telur ayam gred A,B dan C, tomato serta lada benggala hijau.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.
Jaiya berkata, seramai 75 pegawai penguatkuasa KPDHEP serta 25 pegawai pemantau akan ditugaskan seluruh negeri Melaka sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2018 dan akan memberikan tumpuan di pasar awam serta pasar raya.
"Pengguna boleh menyalurkan aduan kepada kementerian melalui talian 03-80008000 di Malaysia Government Call Centre (MYGCC), talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) di 03-88826245/6088, aplikasi telefon pintar Ez ADU, atau email ke alamat e-aduan@kpdnhep.gov.my
"Pengguna juga boleh menghantar sistem pesanan ringkas atau SMS ke 15888 dengan menaip"KPDNHEP ADUAN", lapor/hadir ke mana-mana 73 buah pejabat KPDNHEP di seluruh negara atau Whatapps ke 019-2794317," katanya.