KUALA LUMPUR - Seruan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar orang Melayu bersatu disambut oleh selebriti tanah air, Datuk Norman Abdul Halim atau Norman KRU yang membuat keputusan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai ahli seumur hidup.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya dalam laman Facebook miliknya, hari ini.
"Setelah Tun (Dr. Mahathir Mohamad) mempelawa orang Melayu supaya bersatu, Datuk Norman Abdul Halim telah menyerahkan borang untuk menjadi ahli Bersatu seumur hidup kepada saya hari ini,” katanya hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Melayu berpecah macam mana nak menang?
Lihat cadangan Tun M dari sudut positif: Khairy
Di sebalik pelawaan Tun Mahathir
Borang permohonan Norman yang juga Presiden Eksekutif KRU Studios diserahkan kepada Abu Bakar dalam satu majlis tengah hari tadi.
Dr Mahathir ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Johor, Jumaat lalu mempelawa supaya semua parti politik Melayu tempatan untuk menyertai parti berkenaan bagi menguatkan kuasa politik kaum itu.
Pengerusi Bersatu itu berkata, bangsa Melayu dilihat terus berpecah dengan penubuhan parti Melayu baharu di negara ini.
Dr Mahathir sempat melahirkan kebimbangan perpecahan itu akan terus berlaku sehingga mencecah 100 parti namun Melayu tidak akan pernah menang.
"Kita telah berpecah, kita jadi lemah. Bercerai roboh, bersatu teguh tapi kita dapati ada yang mahu buka parti baharu lagi.
"Sudah jadi enam (parti). Tak lama lagi jadi 10 atau 100 parti. Satu parti ada 30 orang, nak menang macam mana?," katanya.