SUNGAI TENGI - Pengerusi Felda, Tan Sri Datuk Megat Zaharuddin Megat Mohd mendedahkan masalah aliran tunai Felda berpunca akibat perbelanjaan melampau yang berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Beliau berkata, punca permasalan itu tidak dapat diberitahu kepada umum secara keseluruhan sehingga Kertas Putih dibentangkan di Parlimen pada persidangan akan datang.
Menurutnya, Felda juga terpaksa membayar faedah pinjaman bank mencecah ratusan juta ringgit setahun.
"Mungkin anda dah tahu Felda sekarang hadapi masalah aliran tunai yang sengit dan pendapatan Felda adalah daripada pengeluaran hasil sawit dan getah dari lot Felda.
"Keduanya pendapatan daripada Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV). Ketiga, pelaburan, bayaran hutang dari pEneroka, jualan aset, tanah, bangunan dan sebagainya.
"Dikatakan dulu Felda banyak wang tapi sebenarnya daripada wang tunai itu adalah pinjaman," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Tun Daim Zainuddin Bersama Warga Felda Wilayah Trolak, di sini.
Bekas pengerusi Maybank itu berkata, Felda kini dalam proses pemulihan yang dijangka mengambil masa kurang dua tahun melalui tiga fasa pelaksanaan.
Menurutnya, Felda akan memperbetulkan penyata dan menguruskan perwarisan peneroka selain menentukan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di setiap tanah rancangan.
"Pada tahun depan, Felda akan mengurangkan perbelanjaan sebanyak 23 peratus berbanding tahun ini.
"Kalau tidak berbuat demikian, lagi teruk aliran tunai dan untuk tambah penerimaan aliran tunai, kita tidak boleh lagi pinjam banyak dengan bank.
"Sebab bank ada feadah, saya tidak boleh nyatakan berapa setahun Felda bayar tapi beratus-ratus juta, jadi apakah masa depan peneroka Felda?," katanya.
Megat Zaharuddin berkata, Felda juga akan mencari penyelesaian menambah pendapatan peneroka melalui penggunaan tanah ladang untuk projek tanaman dan ternakan.