KUALA TERENGGANU -"Selagi masih bernyawa, saya akan jaga dia," itu luahan seorang ibu yang kini menggalas tanggungjawab menjaga seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU), Muhammad Danish Iskandar Abdullah, 13, yang ditinggalkan kepadanya sejak berusia empat bulan.
Noraini Muda, 43, dari Kampung Laut, di sini, berkata, biarpun pada mulanya agak berat hati untuk menerima ‘kehadiran’ anak istimewa itu, belas kasihan yang timbul kini telah menumbuhkan rasa kasih yang tidak berbelah bahagi.
"Saya agak berat hati untuk terima dan menjaga sepenuhnya anak ini disebabkan faktor ekonomi. Saya tak bekerja dan hanya mengharapkan wang daripada suami yang bekerja turun ke laut untuk tampung perbelanjaan kami sekeluarga.
"Lagipun, masa tu dua anak saya masih kecil dan bersekolah. Namun, apabila mengenangkan nasib, saya lapangkan dada, buka hati untuk reda dan terima sepenuhnya kehadiran dia di dalam hidup saya.
"Sehinggalah kini, kasih sayang terhadapnya tidak berbelah bahagi. Begitu juga suami (Rozmi Awang), 50 dan dua lagi anak saya (Muhammad Afifruddin) 25 dan (Muhammad Hasrol Hizam) 21,” katanya.
Noraini berkata, dia juga telah menganggap kanak-kanak itu sebagai anaknya sendiri dan tidak mungkin akan pulangkan semula ke pangkuan keluarganya.
"Sayang... memang saya sayangkan Muhammad Danish. Saya tak akan bagi kepada orang lain. Kalau saya mati pun, anak ini akan diserahkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Saya tak harapkan orang lain menjaga dia kerana tidak sama dengan saya menjaganya terutama dari segi makan dan minum dia yang memerlukan penjagaan teliti,” katanya.
10 tahun ditinggalkan tanpa khabar berita
Mengimbau kisah bagaimana Muhammad Danish Iskandar boleh berada di bawah jagaannya, Noraini tidak menyangka permintaan ibu kanak-kanak itu supaya dia mengasuh selama sebulan sekadar ‘penyedap kata’.
"Mulanya dia hanya minta saya jaga anak dia selama sebulan saja dengan menjanjikan bayaran RM300. Saya terus terima sebab mahu tambah pendapatan keluarga dengan mengasuh anak orang.
"Tetapi, sangkaan saya meleset kerana daripada sebulan... jadi dua bulan, dan seterusnya, malah dalam masa dua tahun, dia hanya datang untuk membawa lampin pakai buang dan susu anaknya saja.
"Selepas tempoh itu, selama 10 tahun Muhammad Danish Iskandar di bawah jagaan saya, tak ada khabar berita dari dia. Saya juga gagal menghubunginya,” katanya.Muhammad Danish Iskandar hidap ‘celebral palsy’
Bercerita mengenai tahap kesihatan Muhammad Danish Iskandar, kata Noraini anaknya itu kerap mengalami sawan ketika berusia enam tahun.
"Masa tu kali pertama dia kena sawan ketika dalam jagaan dan saya terus bawa dia ke hospital.
"Dia kena tahan dan doktor ada maklumkan kepada saya penyakit yang dihidapinya.
"Sebelum itu saya tak tahu anak ini anak istimewa kerana ibunya hanya bagi tahu dia ada mengalami sawan dan lemas ketika dilahirkan.
"Tapi, saya dah boleh jangka sebab tumbesaran dia tak sama dengan kanak-kanak lain,” katanya.Bertemu ibu sebenar awal tahun lalu
Terbaharu, dia bertemu ibu kepada anak angkatnya itu ketika proses penukaran hak penjagaan ke atas kanak-kanak terbabit.
"Nak dijadikan cerita, masa nak buat MyKad Muhammad Danish ketika dia tahun lepas, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) minta saya bawa ibunya sekiranya masih ada.
"Saya beritahu dah lama tak ada khabar berita daripada ibunya. Selepas itu, JPN berjaya menghubungi ibu kepada anak ini menerusi maklumat MyKad ibunya yang tertera pada surat beranak.
"Jadi, secara kebetulan, kami bertemu dan terus berbincang untuk urusan penukaran hak jagaan ke atas Muhammad Danish,” katanya.
Semuanya dipermudahkan.
Disebabkan dengan sakit Muhammad Danish, keluarga ini memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi.
"Disebabkan pendapatan kami tak menentu dan kos untuk tampung keperluan pun agak besar, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan sebanyak RM350 sebulan kepada saya sebagai penjaga dan sebanyak RM200 kepada Muhammad Danish.
"Walaupun saya tak mampu untuk bawa dia jalani terapi di hospital kerana tiada pengangkutan, bantuan ini ia sedikit sebanyak mampu menampung keperluan anak saya ini,” katanya.