SHAH ALAM -"Sempena sambutan hari ulang tahun Tun Dr Mahathir, semoga Tun Dr Mahathir diberikan kesempatan untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dan negara,” ucapan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Itu antara ucapan yag disampaikan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sempena ulang tahunnya ke-94 hari ini.
Rata-rata pemimpin kerajaan turut mengucapkan selamat hari lahir kepada pemimpin utama negara itu di media sosial.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucapkan selamat hari lahir kepada Dr Mahathir.
"Saya terus mendoakan agar Tun Dr Mahathir akan berada dalam keadaan sihat, cerdas dan cergas dalam memimpin negara.
"Semoga apa yang rakyat harapkan, Malaysia akan jadi sebuah negara yang maju, makmur dan sejahtera akan terus dapat dilaksanakan di bawah pentadbiran Tun,” katanya.
Berikut ucapan pemimpin PH yang lain:-
"Selamat hari lahir ke-94, semoga Tun terus sihat dan harap Tuhan akan lanjutkan usia,” kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng,
"Usia Tun akan mencapai 94 tahun, saya ucapkan selamat hari jadi dan semoga ALLAH memelihara kesihatan Tun dan terus curahkan bakti kepada negara. Bimbing kami dalam pemerintahan semoga dapat berkhidmat sebaik mungkin kepada rakyat,” kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.
"Selamat hari jadi yang ke-94 kepada ayahanda, Tun Dr Mahathir Mohamad, semoga terus dipanjangkan umur, murah rezeki, sihat tubuh badan, dicergaskan fikiran dan dapat tadbir negara ke tahap yang diidam-idamkan dari seluruh rakyat Malaysia,” kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
"Selamat ulang tahun kelahiran yang ke-94 kepada Tun Mahathir, @chedetofficial. Semoga ALLAH panjangkan umur, diberi kesihatan yang baik, sentiasa di dalam rahmat Tuhan dan diberkati-Nya. Amin InsyALLAH," kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.