NEW DELHI - Pemilik rantaian restoran Saravana Bhavan gagal mengelakkan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan membunuh.
P Rajagopal, 71, membuat rayuan terakhir atas alasan perubatan, namun ditolak mahkamah semalam.
Rajagopal didakwa mengarahkan pembunuhan salah seorang pekerjanya kerana mahu mengahwini isteri mangsa berdasarkan nasihat daripada seorang ahli astrologi.
'Dia sangat obses dengan wanita itu," kata wartawan tempatan, D Suresh Kumar.
Susulan kehilangan suaminya pada 2001, wanita itu membuat aduan kepada polis dan tidak lama kemudian mayat mangsa ditemukan.
Pihak berkuasa mengesahkan lelaki itu mati akibat dicekik.
Dia yang turut dikenali dengan nama 'dosa king' kerana menghidangkan menu makanan India Selatan di restoran miliknya dilaporkan terlibat dengan skandal pada 2003 itu selepas cuba merasuah wanita terbabit selain menyerang ahli keluarganya.
Difahamkan, dia telah berjuang di mahkamah untuk mengelakkan hukuman penjara sejak ia dikenakan ke atasnya pada 2009. - Agensi