Kes Wan Ji: Pemimpin PH perlu hormati keputusan mahkamah

Iklan
Kamaruddin Sidek

MELAKA TENGAH - Pas Melaka kesal apabila terdapat segelintir pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan hukuman penjara selama setahun yang dijatuhkan terhadap penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin.

Pesuruhjayanya, Kamaruddin Sidek berkata, pihak berkenaan seharusnya menghormati keputusan itu sejajar dengan agenda PH sebelum ini terhadap 'rule of law' (memerintah mengikut undang-undang).

Iklan
Iklan

"Pas Melaka minta semua penyokong PH menghormati keputusan mahkamah terhadap Wan Ji. 'Rule of law' merupakan salah satu agenda PH dahulu, jadi jangan komenlah.

"Pada perspektif undang-undang, saya berpendapat ia setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh Wan Ji iaitu menghina serta mempertikaikan kedudukan raja-raja Melayu.

Iklan

"Jika di Thailand sesiapa menghina gambar raja pun dihukum penjara, ini juga pengajaran kepada orang lain supaya berhati-hati dalam ucapan dan tulisan, terutama orang-orang yang selalu mendampingi beliau," katanya di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Hina Sultan Selangor: Wan Ji ke penjara

Semalam, Sinar Harian melaporkan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin terpaksa meringkuk di dalam penjara selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Iklan

Hakim Datuk Abdul Halim Aman turut meminda hukuman kepada setahun setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan.

Dalam ringkasan penghakimannya, Abdul Halim berkata, penerbitan kata-kata itu (kata-kata menghasut) adalah satu penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

"Terhadap apa yang dinyatakan tertuduh (Wan Ji) ini seperti mana tertera dalam pertuduhan, saya mendapati ianya adalah sesuatu yang sudah terang lagi bersuluh," katanya.

Menurutnya, apa yang diterbitkan daripada penerbitan itu bukan sahaja sesuatu yang menghasut malah ia cuba menanam sifat kebencian rakyat terhadap Institusi Raja-Raja.

"Ini adalah satu tindakan yang melampaui batasan, kita kena ingat kepada prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja-raja.

"Walaupun sebagai warganegara kita diberi banyak kebebasan, namun ia ada had dan ia masih tertakluk kepada undang-undang dan normal kehidupan," katanya.