KUALA LUMPUR - Bernama News Channel (Astro 502) dan Bernama Radio akan menyiarkan wawancara khas dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersempena ulang tahun ke-94 kelahiran beliau hari ini.
Dalam wawancara bersama pengacara Amar Yusoff itu yang disiarkan di Bernama Radio pada pukul 11 pagi, Dr Mahathir berkongsi rahsia bagaimana beliau menjaga kesihatan, termasuk cara pemakanan dan hobi.
Dr Mahathir juga mengimbau kembali zaman muda beliau di Alor Setar ketika beliau dibesarkan di kawasan kejiranan pelbagai kaum, dan siapakah penyanyi kesukaan beliau.
Ditanya mengenai pemimpin dunia yang beliau jadikan contoh, Dr Mahathir menamakan bekas presiden Afrika Selatan Nelson Mandela dan Czar Rusia Peter The Great.
Selain itu, Dr Mahathir, yang kembali menjadi perdana menteri pada Mei, 2018 selepas bersara pada 2003, juga menjelaskan langkah yang sedang diambil kerajaan bagi memulihkan ekonomi negara dan tempoh masa yang diperlukan untuk meletakkan Malaysia di landasan yang betul.
Temu bual itu akan ke udara di BNC pada pukul 11.30 pagi, 2.30 petang, 4.30 petang dan 7.30 malam hari ini manakala siaran ulangan di Bernama Radio adalah pada pukul 1.30 tengah hari dan 5.30 petang.
Selain saluran Astro 502, wawancara itu juga boleh ditonton menerusi Unifi tv 631, MYTV 121 dan laman sesawang http://bernamanewschannel.com/; www.bernama.com dan YouTube. - Bernama