Undi 18: PM yakin pembangkang tak tipu

Iklan
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin-pemimpin politik yang lain pada sidang media mengenai persepakatan persetujuan had mengundi diturunkan 18 tahun di Parlimen hari ini. FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad yakin kerajaan akan mendapat undi sekurang-kurangnya dua pertiga bagi pindaan Perlembagaan menurunkan had usia pengundi kepada 18 tahun yang akan diusul dan dibahaskan di Dewan Rakyat minggu depan.

Perdana Menteri berkata, ia berikutan pembangkang memberi jaminan untuk menyokong usul itu, selepas kerajaan bersetuju membuat pindaan bagi membolehkan individu berusia 18 tahun terdaftar sebagai pengundi secara automatik.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kerajaan turut bersetuju dengan cadangan pembangkang membuat pindaan bagi menurunkan had usia calon pilihan raya kepada 18 tahun.

"Pada bacaan kali pertama sebelum ini, usul pindaan itu hanya sebut tentang hak individu berusia 18 tahun untuk mengundi, tetapi kita tidak masukkan sama ada nama mereka terdaftar secara automatik (sebagai pengundi).

Iklan

"Permintaan (pembangkang) ialah supaya nama (individu berusia 18 tahun) masuk ke dalam senarai daftar pemilih secara automatik, dan boleh menjadi calon pilihan raya pada usia 18 tahun.

"Pada pertemuan dengan Ahli Parlimen pembangkang hari ini, mereka menyokong pindaan ini setelah ditambah daftar pemilih automatik dan hak menjadi calon pilihan raya pada usia 18 tahun.

Iklan

"Kita yakin (mendapat sekurang-kurangnya dua pertiga undi di Dewan Rakyat). Takkan mereka nak tipu saya,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, kerajaan menarik balik dua Rang Undang-Undang (RUU), iaitu RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 dan RUU Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu dijangka dibentangkan semula esok untuk bacaan kali pertama, dengan memasukkan pindaan mengenai daftar pemilih automatik dan menurunkan had usia calon pilihan raya. Bacaan kali kedua dan perbahasan dijangka pada 16 Julai depan.

Pada 4 Julai lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat, bagi menurunkan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang sudi menerima cadangan pembangkang dalam pindaan berkenaan.

"Oleh kerana kerajaan bersetuju dengan cadangan kita, pastinya pembangkang akan menyokong usul pindaan Perlembagaan yang akan dibentangkan esok.

"Keseriusan kerajaan ditunjukkan hari ini apabila mereka menarik balik cadangan pindaan asal dan akan membentangkan pindaan baharu esok. Dari segi penguatkuasaannya akan dibincangkan secara bersama kemudian,” katanya.