ALOR GAJAH -"Kami sekeluarga sudah lali banjir walaupun kali ini boleh dikatakan teruk namun saya reda," kata mangsa banjir di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Zuraidi Mohammad, 38, di sini hari ini.
Zuraidi yang juga orang kurang upaya (OKU) menetap di rumah ibu mentuanya sejak lebih 10 tahun lalu dan walaupun kudung tangan kiri namun tetap membersihkan rumah bersama isteri,Maszirah Othman,29, yang baharu empat bulan melahirkan anak kelima mereka.
Menurutnya, biarpun kehilangan sebelah tangan akibat kemalangan, namun Zuraidi yang bekerja sebagai pengawal keselamatan tidak mahu menganggap kekurangan fizikal sebagai alasan untuk tidak membersihkan rumah selepas rumah berkenaan dilanda banjir lumpur sejak Ahad lalu.
Bagaimanapun Zuraidi berkata, ada juga penduduk yang prihatin dan membantu mereka sekeluarga mengemas rumah dan menjangkakan kerja-kerja pembersihan mengambil masa lebih seminggu selain bergantung keadaan cuaca cerah selepas rumah dinaiki air hingga paras dada.
"Selagi ada kudrat untuk mengemas rumah saya akan buat dan tak mahu menyusahkan sesiapa, cuma sampai bila harus melalui nasib begini, setiap kali hujan lebat pasti air naik.
"Saya harap pihak berkenaan boleh berbuat sesuatu, bukan sedikit kami nak kemas tapi banyak barang yang terkena air lumpur dan kotor dengan anak-anak yang masih kecil sukar untuk berpindah randah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya, disebabkan air begitu cepat naik banyak perkakas elektrik tidak dapat diselamatkan termasuk mesin basuh hingga mengalami kerugian mencecah beribu ringgit.
"Malah saya yang membuat kerja sambilan membaiki motosikal di depan rumah juga hanya mampu memandang beberapa motosikal yang mengalami kerosakan teruk dan terkena banjir lumpur," katanya.
Selain itu, tinjauan Sinar Harian di kampung berkenaan mendapati beberapa penduduk sibuk mengemas dan membersihkan rumah masing-masing.
Penduduk, Abdul Rahim Halus, 58, berkata, biarpun sering kali berdepan dengan situasi banjir namun tidak pernah terfikir untuk berpindah ke tempat lain.
Menurutnya, dia yang pernah bekerja dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengakui selesa mendiami kampung berkenaan sejak lebih 30 tahun lalu bersama ahli keluarganya.
"Rumah pakcik dekat dengan sungai Durian Tunggal yang menghubungkan Krubong, bila hujan memang air cepat masuk ke dalam rumah.
"Nak berpindah mungkin tidak, sebab dan selesa tinggal di sini cuma pak cik tidak beli barang banyak jadi nak pindah atau banjir senang untuk alihkan ke tempat lebih tinggi," katanya.