PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan tempoh 15 hingga 20 tahun diperlukan Malaysia untuk pulih daripada masalah pertumbuhan ekonomi dan kembali menjadi Harimau Asia.
Memetik wawancara khas bersama Bernama sempena hari ulang tahun ke-94, beliau berkata, proses pemulihan sedang berjalan dan sasaran bagi tiga tahun pertama adalah untuk mengurangkan masalah tersebut.
"Proses pemulihan telah bermula dan jangka masa tiga tahun bagi mengurangkan masalah ini. Itu hanyalah untuk mengurangkan kerana untuk pulih ia bukan perkara mudah.
"Untuk pulih kepada tahap menjadi Harimau Asia, ia mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 tahun dari sekarang," katanya hari ini.
Katanya, beliau tidak berpuas hati dengan prestasi semasa negara menjelang 2020 dan ia antara faktor mengapa kembali aktif dalam politik.
"Saya dapati mereka yang mengambil alih tugas mentadbir negara selepas saya tidak memberikan tumpuan kepada soal pertumbuhan ekonomi sebaliknya lebih kepada perkara tidak perlu.
"Mereka mengalihkan pandangan daripada pembangunan kepada perkara peribadi. Ia mengambil masa yang panjang untuk diri sendiri, keluarga dan kawan-kawan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, banyak masalah berjaya dikurangkan selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara seperti soal kewangan kerana diurus dengan lebih cermat dan ia merupakan satu kejayaan.
"Tidak semua negara yang menghadapi masalah kewangan dapat mengatasinya. Kita tidak lagi tertekan sangat dengan masalah kewangan negara kita setelah ia diuruskan dengan lebih cermat.
"Saya fikir dalam tempoh tiga tahun diambil untuk kita meletakkan negara dalam keadaan selamat daripada kecemasan," katanya.
Ditanya mengenai amanat yang pernah ditulis beliau dalam kapsul masa dan sekiranya diberikan peluang untuk menambahnya, Dr Mahathir berkata, rakyat perlu berfikir terlebih kerana tindakan berlandaskan emosi seringkali memberikan kesan tidak baik kepada diri sendiri mahupun negara.
"Sebab itu rakyat juga perlu fikir masalah yang dihadapi oleh negara. Malaysia kini lebih tenang, aman dan tidak tertekan sangat sehingga berlaku peperangan yang menekan kita," katanya.
Diajukan soalan adakah Malaysia adakah wujud kemungkinan Malaysia akan melaksanakan dasar pandangan ke Timur Tengah kerana negara seperti Qatar kini kian maju, Dr Mahathir berkata, kekayaan yang diperoleh negara itu hasil daripada sumber minyak mereka.
"Kita dapati juga terlalu banyak masalah di hadapi di negara-negara Timur Tengah seperti perang saudara dan keganasan.
"Kalau kita nak ambil timur tengah, tidak ada banyak persamaan mereka dengan kita," katanya.