ECRL: Tiada pengecilan skop projek

Iklan
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR - Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata tiada pengecilan skop dilakukan pada Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) meskipun kos pembinaan dikurangkan daripada RM65.5 bilion kepada RM44 bilion.

Beliau berkata hanya jajaran Kota Bharu-Wakaf Bharu-Pengkalan Kubor tidak lagi dilaksanakan kerana ia tidak menambah nilai yang besar terhadap jaringan pengangkutan rel keretapi pada masa ini.

Iklan
Iklan

Katanya, stesen-stesen yang dibatalkan pula adalah Bentong, Gombak Utara, Terminal Bersepadu Gombak, Telaga Papan, Jelawat, Pengkalan Kubor dan Wakaf Bahru.

"Stesen-stesen baharu yang telah dikenal pasti di sepanjang jajaran ialah Bangi/Kajang, Putrajaya Sentral, Pelabuhan Klang dan stesen-stesen baharu turut dicadangkan di Selangor dan Negeri Sembilan.

Iklan

"Oleh yang demikian, tiada pengecilan skop dilaksanakan bagi projek ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini sebagai menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) sama ada pengurangan kos bermakna pengecilan skop projek.

Mengulas lanjut, Loke berkata pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion itu dicapai melalui siri semakan semula aspek kejuruteraan dan kajian kejuruteraan nilai yang menyeluruh merangkumi semua aspek pelaksanaan projek.

Iklan

Kajian teknikal itu dijalankan bersama antara pihak pemilik projek yang dilantik kerajaan, Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC). - Bernama