KOTA TINGGI - Seorang mekanik ditahan Khamis lalu selepas disyaki mencabul kehormatan anak kandungnya sendiri di kediamannya di Felda Air Tawar 5 di sini.
Difahamkan, mangsa berusia 15 tahun tampil sendiri ke Balai Polis Teluk Sengat untuk melaporkan kejadian keji itu.
Bapa mangsa dipercayai melakukan perbuatan itu pada Selasa lalu ketika mangsa berada di dalam biliknya dan bertindak memegang payudara sebelum memasukkan tangan ke dalam seluar mangsa.
Suspek juga disyaki telah mencabul kehormatan mangsa sejak darjah enam namun mangsa tidak pernah menceritakan kepada sesiapa termasuk ibunya yang kini sudah tidak tinggal bersama ekoran dalam proses cerai.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Menurutnya, suspek berusia 46 tahun itu telah ditangkap Khamis lalu.
"Suspek berkerja sebagai mekanik di bengkel cat kenderaan kini masih dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak," katanya.