PENYERTAAN selebriti terkenal tanah air, Datuk Norman Abdul Halim atau Norman KRU sebagai ahli seumur hidup Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diumumkan semalam menarik perhatian ramai.
Biarpun sebelum ini pernah bersama UMNO, Norman, 47, ketika dihubungi Sinar Harian mengakui tindakannya menyertai Bersatu didorong oleh seruan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar orang Melayu bersatu di bawah satu parti.
"Saya menyambut baik dan positif akan seruan Tun Dr Mahathir Mohamad agar Melayu dan Bumiputera amnya teguh bersatu di bawah satu parti dalam bersama membangun dan terus menjadi wadah kejayaan negara.
ARTIKEL BERKAITAN: Sahut seruan Tun M, Norman KRU masuk Bersatu
"Saya bukanlah orang penting di dalam era dan landskap politik Malaysia. Saya juga tidak pernah berhasrat atau memegang apa jua jawatan besar dalam UMNO sebelum ini dan hasrat yang sama terulang apabila penyertaan saya ini sah bersama Bersatu.
"Saya berasakan adalah penting bagi saya menyertai Bersatu ketika ini dalam menyumbang tenaga setakat mana yang mampu oleh saya untuk membantu membangunkan negara dan anak bangsa kita,” jelasnya.
Ditanya adakah penyertaannya secara rasmi dalam Bersatu ini akan memberikan impak kepada orang ramai, Norman yang juga Presiden Eksekutif KRU Studios mempunyai pandangannya sendiri.
"Itu adalah milik dan pendapat individu serta cara masing-masing menterjemahkan perjuangan kita yang sentiasa cintakan negara ini.
"Ada yang memilih untuk bersama parti pemerintah, ada juga terus berjuang melalui parti lawan dan ada yang memilih untuk tidak bersama mana-mana parti politik.
"Ikhlas saya nyatakan di sini, saya punya cara dan corak saya tersendiri dan yakin apa yang ingin saya lakukan bersama Bersatu, insya-ALLAH sedikit sebanyak mampu membantu rakyat serta mencapai aspirasi dan visi kerajaan,” katanya.
Berkongsi harapannya selepas menyertai Bersatu, Norman berhasrat untuk membantu golongan belia dalam bidang keusahawanan dan pendidikan TVET berkaitan industri kreatif.
"Industri kreatif boleh dan mampu menjadi salah satu penyumbang utama bagi ekonomi negara khususnya didalam era digital dan perkembangan IR4.0.
"Selain penterjemahan dari sudut pulangan ekonomi, ianya juga penting bagi memelihara jatidiri, bahasa, budaya dan warisan bangsa.
"Keutamaan saya adalah membantu golongan belia Malaysia di dalam bidang keusahawanan dan pendidikan TVET berkaitan industri kreatif,” tegas Norman.
Norman menyerahkan borang untuk menjadi ahli Bersatu seumur hidup kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya pada satu majlis, semalam.