Bumbung diterbangkan 'kepala' ribut

Iklan
Kamaruddin meninjau rumah Zainun yang rosak akibat ribut petang semalam.

MACHANG - Hujan lebat berserta ribut kuat menyebabkan bumbung tiga rumah di Kampung Lepan Rambutan, dekat Batu 23 di sini rosak semalam.

Kejadian pada jam 6 petang tersebut mengejutkan penduduk yang rata-ratanya sedang berehat di rumah.

Iklan
Iklan

Mangsa, Zainun Said, 62, berkata, dia tergamam apabila mendengar bunyi kuat dari dalam bilik sebelum bergegas untuk melihat apa yang berlaku.

Katanya, bumbung rumahnya terangkat sebelum beberapa zink diterbangkan 'kepala' ribut dalam sekelip mata pada kejadian itu.

Iklan

"Ketika kejadian mak cik sedang memasak di dapur dan apabila bunyi zink terangkat mak cik segera mendapatkan cucu yang sedang tidur di dalam bilik sebelum menyedari bumbung diterbangkan angin.

"Sudah 28 tahun mak cik tinggal di sini dan ini merupakan kali pertama kejadian ini berlaku.

Iklan

"Mak cik tak mampu berbuat apa-apa dan kedua-dua bilik yang terlibat basah akibat hujan lebat," katanya kepada Sinar Harian ketika menerima kunjungan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Machang, Kamaruddin Ab Kadir di sini semalam.

Berkongsi detik cemas yang sama, Siti Rokiah Mat Ali, 48, berkata, anak bongsunya yang juga orang kurang upaya (OKU) merangkak keluar dari rumah akibat terlalu takut dengan kejadian tersebut.

Katanya, ketika kejadian dia berada di dalam bilik manakala anaknya, Nur Umaiyah Mohd Asri, 11, berada di ruang tamu bersama suaminya.

"Bumbung rumah kami di bahagian ruang tamu terangkat sebelum beberapa keping zink turut tercabut.

"Dia tidak boleh berjalan dan menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Mungkin dia terlalu takut, dia mengambil keputusan untuk keluar sendiri biarpun ayahnya berada di tempat kejadian," katanya.