ALOR SETAR - Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha kilang kitar semula berasaskan sisa plastik yang masih berdegil dan tidak mengendahkan arahan menghentikan operasi yang menyebabkan pencemaran di Bakar Arang, Sungai Petani.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya kesal kerana masih terdapat kilang yang telah diberikan amaran, masih meneruskan operasi tanpa menghiraukan pencemaran akibat daripada perbuatan itu.
Menurutnya, terdapat 15 buah kilang yang dikesan beroperasi tanpa lesen daripada keseluruhan 27 buah kilang.
"Kita sudah adakan perbincangan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk memotong bekalan elektrik dan air di premis terlibat, kita serius tangani masalah ini dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak, terutama yang beroperasi tanpa lesen dan terbukti mencemarkan udara dan sungai,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.
Mukhriz berkata, sebahagian kilang berkenaan turut disita dan sebahagian diarah berpindah.
"Sebanyak lima buah kilang menerima cadangan kita agar mereka berpindah ke Bukit Selambau, jauh dari kawasan perumahan. Kilang ini memproses plastik yang dibenarkan mengikut piawaian ditetapkan dan kita tiada masalah untuk beri kebenaran,” katanya.
Menurutnya, hanya kilang yang mengimport bahan sisa plastik tidak dibenarkan serta melonggokkan bahan itu dalam kawasan kilang tanpa diproses secara menyeluruh dikenakan tindakan tegas.
"Ada sisa plastik yang dibuang di tepi Sungai Muda dan mencemarkan udara, yang ini kita larang. Malah ada kes terbaharu, yang dikesan memproses bahan selain plastik seperti bahan buangan logam, ini juga dalam pemantauan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mukhriz mengumumkan 30 Julai (Selasa) sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negeri ini sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Saya ingin memaklumkan Exco memutuskan, hari kelepasan am tambahan sempena istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai,” katanya.
Mukhriz turut mengumumkan, kerajaan negeri bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bercadang membangunkan ‘Kedah Digital Library’ di Memorial Tunku Abdul Rahman dan peruntukan akan disediakan NCIA dengan persetujuan kerajaan Persekutuan.
"Lawatan ke ‘Penang Digital Library’ telah dibuat, dalam tempoh terdekat kita akan saksikan pembaharuan di memorial itu yang akan dijadikan pusat digital diminati ramai,” katanya.