Perkenalan di Facebook bawa padah

Iklan
AA Anbalagan

BAYAN LEPAS - Seorang guru sekolah berputih mata selepas ditipu sebanyak RM358,350 oleh sindiket scam sejak Ogos lalu.

Semuanya bermula apabila guru wanita dari Bayan Lepas itu mula berkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Yusuf Ismail Osman melalui laman Facebook.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, lelaki itu memberitahu mangsa yang berusia 53 tahun itu bahawa dia ada memberi hadiah kepadanya melalui pos.

Menurutnya, susulan daripada itu, mangsa dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai perkhidmatan kurier bernama Khalid.

Iklan

"Lelaki itu mendakwa, mangsa mempunyai bungkusan hadiah dan perlu membayar RM2,850 untuk pembayaran duti import dan caj penghantaran. Mangsa yang menyangka bungkusan itu dikirim oleh kenalannya yang bernama Yusof terus membayar wang berkenaan secara dalam talian ke akaun seorang penama.

"Dia membuat pembayaran itu ketika berada di sekolah tempat dia mengajar. Selepas itu, suspek memberitahu bungkusan itu mengandungi wang berjumlah 150 ribu AUD (RM451,3630) dan telah ditahan oleh kastam.

Iklan

"Mangsa diberitahu suspek, sekiranya dia tidak menyelesaikan masalah itu, mangsa akan dikenakan hukuman mengikut Seksyen Akta Pengubahan Wang Haram," katanya ketika dihubungi tadi.

Anbalagan berkata, mangsa yang ketakutan telah memasukkan RM40,000 ke dalam akaun seorang penama secara berasingan di sebuah mesin ATM di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 14 Ogos lalu.

"Mangsa turut memasukkan RM60,000 pada hari sama di mesin ATM di Bayan Baru. Kemudian, mangsa diberitahu suspek bahawa berlaku kesilapan pengiraan wang dalam bungkusan hadiah tersebut iaitu jumlah sebenar adalah RM 533,3920.

"Mangsa diminta membuat penambahan pembayaran berjumlah RM 33,000. Pada 23 Ogos lalu, mangsa telah membuat pembayaran itu. Suspek turut meminta mangsa membayar denda sebanyak RM25,000 kerana lewat membuat pembayaran sebelum ini.

"Selain itu, mangsa juga diminta memasukkan wang RM15,500 sebagai kos penghantaran dan mangsa mengikuti arahan itu yang mana, mangsa memasukkan jumlah wang itu pada 6 September lalu," katanya.

Tambahnya, dari 28 Ogos hingga 29 Oktober lalu, mangsa telah memasukkan wang sebanyak RM 107,500 untuk urusan pengeluaran bungkusan tersebut.

"Mangsa merasakan dirinya tertipu setelah bungkusan itu tidak diperolehinya dan suspek masih memberitahu bahawa bungkusan itu sudah dihantar ke ibu pejabat syarikat kurier di Kuala Lumpur.

"Anggaran keseluruhan mangsa ditipu adalah RM358,350. Mangsa mendakwa, dia membuat transaksi ke pelbagai akuan bank tempatan di atas beberapa nama individu yang berlainan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.