JPJ lancar JPJe-Bid bagi siri nombor KET

Iklan
Shaharuddin (empat dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan nombor pendaftaran siri KET pada sidang media pelancaran bidaan tender nombor plat siri KET secara online JPJ eBid dan keputusan Plate VDP di Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah.

ALOR SETAR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah mengikut jejak Putrajaya dan Kuala Lumpur apabila melancarkan sistem tender dalam talian (e-Bidding) bagi siri KET yang akan bermula pada jam 12 malam ini.

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, pelancaran itu membolehkan semua pembida di luar Kedah turut membida nombor yang diminati selama lima hari sehingga jam 11.59 malam 15 Julai ini.

Iklan
Iklan

Katanya, e bidding ini menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat.

"Malah, pembida boleh mengetahui kedudukan secara real-time dan tidak ada unsur-unsur campur tangan manusia," katanya, ketika sidang akhbar Pelancaran JPJe-Bid bagi siri nombor KET di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, selepas Kedah, sistem berkenaan akan diperluaskan ke negeri Pulau Pinang, Sabah dan Johor.

"JPJ menyasarkan semua negeri di Malaysia akan menggunakan sistem e-Bidding sepenuhnya menjelang akhir tahun hadapan bergantung kepada pembukaan siri nombor baharu di negeri-negeri terbabit," katanya.

Iklan

Tambahnya, bagi siri nombor pendaftaran KET, pihaknya menyasarkan pendapatan kira-kira RM1 juta berdasarkan purata bagi nombor pendaftaran KEN hingga KES, sebelum ini.

"Bagi kategori nombor bernilai utama, harga minima untuk bidaan adalah RM20,000, manakala nombor menarik (RM3,000), nombor popular (RM800) dan nombor biasa (RM300) dengan kenaikan minima lima peratus bagi semua kategori itu," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan kutipan bagi siri nombor pendaftaran VDP untuk Kuala Lumpur yang berjumlah RM1.14 juta dengan bidaan tertinggi adalah VDP 1 berharga RM120,000.

Katanya, lima nombor yang paling banyak di bida adalah VDP 69 iaitu seramai 10 pembida diikuti VDP 88, VDP 21, VDP 33 dan VDP 8055 masing-masing merekodkan sembilan pembida.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus dan Pengarah JPJ negeri, Ismasuhaimi Sharif.