SHAH ALAM - Persetujuan kerajaan untuk menambah pendaftaran pengundi secara automatik dan had umur calon pilihan raya dalam pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan disifatkan sebagai satu kejayaan kepada blok pembangkang.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dalam hal itu, beliau berterima kasih kepada perdana menteri dan kerajaan yang akhirnya menerima cadangan dari pihak pembangkang dalam pindaan perlembagaan yang dibawa.
Iklan
Iklan
"Selepas perbincangan tertutup antara wakil-wakil parti blok pembangkang bersama perdana menteri pada pagi ini, perdana menteri mengambil ketetapan dan telah menarik balik cadangan pindaan asal dan akan menggantikan dengan pindaan yang baru seperti mana yang dicadangkan oleh blok pembangkang.
"Usul pindaan perlembagaan tersebut akan dibentangkan semula dengan memasukkan cadangan had umur 18 tahun untuk pemilih, pendaftaran secara automatik pada umur 18 tahun dan had umur 18 tahun sebagai calon pilihanraya seperti cadangan blok pembangkang.
"Ini merupakan kejayaan berterusan pembangkang dalam menjadi pembangkang yang berkesan dan mewakili suara rakyat sebenar. Ini perjuangan kami dan ini kekuatan kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, di Dewan Rakyat hari ini, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 dan RUU Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2019 yang dijadual untuk bacaan kali kedua, ditarik balik.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan memutuskan untuk menarik balik RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu bagi turut meminda perkara berhubung pendaftaran pemilih secara automatik dan menurunkan had umur calon pilihan raya.