JELI - Mangsa kemalangan maut di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang berhampiran Kampung Berangan Apam, Lubok Jong, Nur Syafiqah Jaafar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Mat Kechun Ayer Lanas di sini kira-kira jam 8.30 malam.
Ibunya, Halimah Ahmad, 52, berkata, jenazah anak ketujuh daripada sebelum itu di sembahyangkan di Masjid Al- Abrar Mukim Ayer Lanas sebaik tiba dari Hospital Lati, Pasir Mas.
"Alhamdulillah urusan pengebumian selamat dilakukan, arwah dikebumikan dalam satu liang lahad bersama kandungannya.
"Suaminya dikebumikan di kampung keluarganya di Tumpat," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tanah perkuburan berkenaan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira- kira jam 6.30 pagi tadi, Nur Syafiqah, 22, yang mengandung lima bulan tercampak sejauh tujuh meter sebelum maut di tempat kejadian selepas menunggang motosikal bersama suaminya, Mohd Ikraam Ab Azit, 22.
Mengulas lanjut, Halimah berkata, Nur Syafiqah merupakan anak yang baik dan mudah mesra serta disenangi semua adik- beradik.
"Kami reda dengan apa yang berlaku, kerana semuanya adalah pinjaman dari ALLAH, sampai masa ia diambil semula.
"Memang ketiadaannya sangat dirasai walaupun ramai lagi anak lain, tapi setiap anak ada keistimewaannya," katanya.
Halimah berkata, dia lega apabila dapat menunaikan impian Allahyarham untuk memilik rantai leher.
"Jumaat lepas saya sempat tunaikan hasrat arwah dengan hadiahkan rantai leher sebagaimana diinginkan sebelum ini," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri maut, janin terkeluar kandungan