SEREMBAN - Semalam tular di laman sosial mengenai ‘kemunculan misteri’ seorang wanita warga emas, yang dianggap sebagai 'Nenek kebayan' oleh netizen di sebuah hospital di negeri ini.
Menurut hantaran yang diciap di laman sosial, kejadian berlaku sekitar jam 2 atau 3 pagi di wad wanita sebuah hospital di sini, menunjukkan seorang warga emas sedang berjalan.
Ada dakwaan yang menyatakan bahawa wad terbabit tidak dihuni oleh warga emas, ianya hanya dipenuhi oleh pesakit muda sahaja.
Lalu, isu berkenaan mula tersebar sehinga ke medium lain dan menyebabkan orang ramai menggelar entiti itu sebagai ‘nenek kebayan’.
Berikutan itu, muncul pelbagai spekulasi mengenai kejadian tersebut, menyebabkan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan tampil memberi penjelasan sebenar.
Menurut kenyataan tersebut, warga emas yang dilihat berjalan seorang diri di wad itu adalah pesakit di hospital berkenaan.
Sehubungan dengan itu,bagi menjaga privasi pesakit dan waris serta mengelak salah tanggapan, JKNS memohon supaya hantaran tersebut dipadam.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zainuddin Ali ketika dihubungi Sinar Harian turut meminta supaya perkara ini tidak di tularkan bagi menghormati pesakit dan juga waris.
Beliau turut menafikan penglibatan pegawai perubatan di hospital itu, dengan rakaman gambar tersebut.
Semakan yang dibuat Sinar Harian, pemilik akaun tersebut telah memadam hantaran yang dibuat sebelum ini, namun gambar tersebut masih lagi di ulang siar dan diciap di laman sosial lain.