KABAR dan kelam untuk membayangkan masa depan serta nasib pelarian etnik Rohingya.
Persoalan utama yang terlintas ialah sampai bila mereka terus berpayung di bawah langit Bangladesh?
Jika pulang ke tanah kelahiran di Rakhine State (dulu dikenali sebagai Arakan) yang ditinggalkan sejak 2017, adakah Myanmar sudi menerima kepulangan 1.2 juta etnik Rohingya yang pernah cuba dilenyapkan daripada populasi masyarakat dunia?
Persoalan seterusnya, jika negara ASEAN seperti Malaysia dan juga Bangladesh memberi tekanan kepada Myanmar untuk menerima kembali Rohingya adakah Myanmar ambil kisah?
Perkembangan terkini, posisi Malaysia adalah menuntut hak kewarganegaraan dan keadilan dipulangkan kepada etnik minoriti Islam itu seperti ditegaskan Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abullah.
Namun, negara ditadbir pemimpin de facto Myanmar, Kaunselor, Aung San Suu Kyi nampaknya terus berdegil menidakkan kewujudan Rohingnya.
Tidak keterlaluan, apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyenaraikan Rohingya sebagai golongan masyarakat yang menerima penindasan paling buruk dunia.
Suu Kyi yang juga figura pejuang demokrasi di Myanmar pernah menyatakan masalah utama dihadapi negaranya ialah penduduk Islam.
Kedegilan dan diskriminasi itu meresahkan Bangladesh kerana meskipun tanah Bengal itu sudah dua tahun ‘memeluk’ saudara seagama daripada dibunuh namun mereka tetap berharap Rohingya pulang semula ke Myanmar.
Bangladesh sangat percaya Malaysia mampu mendesak Myanmar dan membantu untuk menjaga kemudian menghantar pulang pelarian Rohingya di 27 kem di Cox’s Bazar.
Namun, harus difikirkan juga sekiranya Rohingya ini diterima masuk ke Myanmar semula, bagaimana mereka akan teruskan survival? Rumah dan kampung mereka telah dimusnahkan oleh penganut Buddha Myanmar.
Hidup terbuang
Kunjungan Saifuddin dan delegasi Malaysia ke kem-kem pelarian dan Hospital Medan Malaysia (MFH) di Bangladesh, menjelmakan realiti gambaran situasi, perasaan dan luka ditanggung etnik yang dicabuli hak asasi itu.
Hidup mereka hanya bergantung harap dengan ihsan kerajaan Bangladesh yang turut dibantu Malaysia dan negara Islam lain termasuk badan bukan kerajaan (NGO) serta PBB.
Populasi 1.2 juta etnik Rohingya dicampur dengan 42,000 kelahiran setiap tahun, nemambahkan lagi sengsara hidup di kem-kem pelarian, malah mereka juga tidak dibenarkan bekerja, cuma hidup menadah pemberian orang.
Lebih perit apabila penguatkuasa Bangladesh tidak membenarkan mereka keluar daripada kem pelarian bahkan barang dagangan dalam kem dijual oleh rakyat Bangladesh.
Menyelami isi hati etnik itu kem pelarian di Kutupalong, rata-rata mereka menyatakan amat merindui kampung di Myanmar.
Seorang remaja Rohingya, Noor Mustafa Mohd Salim, 21, berkata, perasaan rindu yang ditanggungnya sangat berat terhadap tanah kelahiran di Myanmar tetapi apabila terbayangkan kekejaman di sana membuatkan dia trauma untuk kembali.
Mohd Rafiq, 24, menceritakan detik rumahnya diserang penganut Buddha di Myanmar menjadi sejarah hitam dalam hidupnya.
"Saya impikan suatu hari nanti akan datang berita bahawa kami semua boleh pulang ke Myanmar dan diberikan hak kerakyatan yang sah.
"Sudah ‘sakit’ hidup sebagai orang terbuang dan tidak dialu-alukan,” katanya kepada Sinar Harian.