KOTA KINABALU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah akan memperluas inisiatif Food Bank Malaysia ke negeri ini mulai tahun depan bagi membantu golongan kurang berkemampuan di Sabah, kata Pengarahnya, Georgie Abas.
Sehubungan itu, Georgie berkata, pasar raya besar termasuk pengusaha restoran di negeri ini diminta memberi kerjasama bagi merealiasikan inisiatif tersebut dengan memastikan barang makanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta produk makanan lain yang hampir tarikh luput dikumpulkan sebelum diserahkan kepada golongan memerlukan.
Daripada pasaraya membuang atau melupuskan barang makanan yang sudah hampir tarikh luput itu, adalah lebih baik ia dikumpul sebelum diagihkan kepada golongan kurang bernasib baik, kata beliau.
"Di Semenanjung, sudah banyak badan bukan kerajaan (NGO) melakukan usaha seperti ini, tetapi di Sabah setakat ini belum ada NGO khusus menjalankan insiaitif tersebut dan kita (KPDNHEP Sabah) sedang mengatur perancangan serta melihat cara terbaik bagaimana ia dapat direalisasikan.
"Ini termasuk mempelawa NGO dari Semenanjung menjalankan inisiatif itu di Sabah ataupun kita melatih NGO Sabah menjalankan tanggungjawab sosial berkenaan sekali gus membantu orang kurang berkemampuan di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas peringkat negeri Sabah, di sini hari ini.
Food Bank Malaysia diterajui KPDNHEP itu dilancarkan di Pulau Pinang semalam oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mewakili Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad antara lain bertujuan meringankan kesan kenaikan kos sara hidup dan mengurangkan pembaziran makanan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Georgie turut mengingatkan masyarakat Sabah supaya sentiasa mengamalkan perbelanjaan berhemah dan membeli barangan mengikut keperluan bagi mengelakkan pembaziran.
Mengenai skim kawalan harga, Georgie berkata, sebanyak 15 jenis barangan dikenal pasti bagi pelaksanaan skim itu di Sabah termasuk ayam hidup; ayam standard; ayam super; ayam tua hidup; ayam Belanda import; kepak ayam; telur ayam; tomato; lada benggala hijau; babi hidup dan daging babi.
Beliau turut menasihatkan para peniaga di Sabah supaya mematuhi harga ditetapkan sepanjang skim kawalan harga itu berlangsung mulai hari ini hingga 27 Dis atau berdepan tindakan tegas sekiranya ingkar. - Bernama