SHAH ALAM - Individu yang mempunyai penyakit kronik seperti HIV, kanser dan masalah buah pinggang disarankan ke hospital bagi mendapatkan nasihat dan rawatan daripada doktor.
Presiden Medical Mythbusters Malaysia, Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris berkata, kebanyakan pesakit tersebut sangat berharap sakit yang dialami sembuh sehingga ada yang mempercayai ubat-ubatan yang diragui dan tidak diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Kita tahu tentang kewujudan ubat-ubatan berasas sumber alam semula jadi dan pelbagai ikhtiar diambil oleh pesakit untuk sembuh. Tapi perlu diingatkan bahawa ia mungkin boleh menjadi racun atau tidak efektif jika diambil dalam jumlah yang betul.
"Ada juga pesakit yang sebelum ini mendapatkan rawatan di hospital tetapi berhenti berbuat demikian kerana termakan dengan pujuk rayu penjual ubat. Kebiasaannya penjual ubat ini diragui status kelayakan dan produk yang dijual hanya berdasarkan testimoni serta tiada kajian terperinci dilakukan," katanya kepada Sinar Harian.
Beberapa hari lalu tular beberapa keping gambar berkaitan ubat bagi penyakit kronik seperti penyembuh denggi berdarah, penyembuh HIV, penyembuh penyakit kerosakan buah pinggang yang dijual dengan pelbagai harga bermula dengan ribuan hingga puluhan ribu ringgit.
Mengulas perkara tersebut, Ahmad Firdaus berkata, sasaran penjual adalah kepada pesakit kronik yang terdesak.
"Mungkin pada kita yang sihat produk yang dijual itu mengarut dan tidak masuk akal tetapi bagi pesakit-pesakit kronik seperti kanser mereka beranggapan ia adalah satu alternatif atau ikhtiar walaupun harganya terlalu tinggi.
"Sepatutnya duit tersebut digunakan bagi tujuan rawatan yang lebih baik di pusat-pusat perubatan. Bagi pesakit HIV mereka ini menerima rawatan HARP untuk mengelakkan terkena AIDS tetapi berhenti mendapatkan rawatan dan selepas itu keadaan bertambah buruk. Jika berlaku begini sebenarnya rawatan yang diterima sejak dari awal hanya sia-sia," katanya.
Justeru, beliau berharap rakyat di Malaysia mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai ubat-ubatan yang tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan dan menjadikan hospital sebagai keutamaan bagi mendapatkan rawatan.
"Jangan kerana tertipu dengan apa yang dikatakan oleh penjual, keadaan pesakit semakin teruk. Kerajaan telah memperuntukkan dana bagi rakyat mendapatkan rawatan di klinik dan hospital," katanya.