SUDAH banyak kali kita dengar berita tentang ramai orang menjadi mangsa sindiket penipuan yang seakan-akan tiada kesudahannya.
Macau Scam, Love Scam, skim cepat kaya dan bermacam-macam lagi penipuan boleh dikatakan dilaporkan setiap hari media.
Lebih menghairankan, mereka yang kena tipu ini bukan calang-calang latar belakang kerjaya dan pendidikan. Boleh dikatakan mereka ini boleh berfikir secara rasional sama ada panggilan yang diterima daripada sindiket itu betul atau tidak.
Malah jumlah kerugian yang dihadapi mangsa juga bukan sedikit. Ada kes seorang pegawai bank di Pulau Pinang ditipu kekasih alam mayanya sehingga kerugian RM3 juta.
Lebih menyedihkan ada warga emas kehabisan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akibat mangsa menerima panggilan telefon kononnya mereka mempunyai kes jenayah dan diberi peluang menyelesaikan kes itu sebelum ke mahkamah.
Cukup-cukuplah kita ditipu. Pihak polis sudah banyak kali memberi penerangan dan nasihat kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan sindiket penipuan ini.
Mereka tidak memerlukan modal besar, cukup hanya dengan air liur sahaja untuk mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit.
Persoalannya sekarang adalah pada diri kita sendiri. Pengetahuan terhadap kes-kes penipuan yang semakin kerap berlaku amat penting.
Sekiranya kita menerima panggilan telefon kononnya daripada pihak polis, Bank Negara atau mana-mana pihak berkuasa semak dahulu kesahihannya sama ada betul ada tidak.
Janganlah sehingga nasi dan menjadi bubur baru kita nak menyesal dengan apa yang berlaku.
Ingatlah, wang yang kita ada bukannya mudah diperolehkan tetapi ia dikumpul dengan titik peluh kita selama bertahun-tahun bekerja.