TOKYO - Pelancong diberi amaran supaya tidak memberi makanan kepada rusa liar Jepun selepas beberapa ekor haiwan itu mati tertelan beg plastik.
Yayasan Pemuliharan Rusa Nara mendedahkan bahawa terdapat peningkatan jumlah beg plastik dan paket snek yang ditemui dalam perut rusa yang mati antara Mac hingga Jun tahun ini.
"Sampah seberat 4.3 kilogram ditemui dalam salah seekor daripada sembilan rusa yang mati dan ia adalah yang terbesar setakat ini.
"Kami amat terkejut. Ia amat besar,” kata pegawai yayasan itu, Yoshitaka Ashimura.
Taman Rusa Nara yang terletak di ibu negara purba Jepun itu menempatkan lebih 1,000 rusa, yang boleh ditemui merayau di jalan raya sambil mencari snek yang ditawarkan pelancong.
Namun, pelawat dilarang memberi sebarang makanan kepada rusa, selain keropok tetapi Ashimura berkata, sebahagian pelawat memberi beberapa jenis snek kepada haiwan itu.
"Rusa itu mungkin menyangka snek dan bungkusan plastik adalah makanan.
"Ia mungkin turut memakan beg plastik yang dibuang kerana tertarik dengan baunya,” ujar Ashimura.
Beliau percaya kes seumpama itu berlaku berikutan peningkatan bilangan pelawat.
Kira-kira 1,200 rusa di taman berkenaan dikategori sebagai haiwan dilindungi dan harta negara. — AFP