Cubaan pelacur menyorok di ruang khas gagal

Iklan
Azmi menunjukkan ruangan khas menjadi tempat pelacur warga asing di sebuah premis di Jalan Bandar 19, Puchong semalam.

PUCHONG - Menyorok di dalam ruangan khas di belakang cermin terlindung katil itu antara gelagat sekumpulan pelacur bagi mengelak ditahan penguat kuasa dalam serbuan di Jalan Bandar 19, di sini, semalam.

Dalam serbuan pada jam 6 petang itu, seramai 16 wanita warga asing berusia 21 hingga 35 tahun itu lari bertempiaran sebaik menyedari anggota penguat kuasa memasuki bangunan tiga tingkat premis itu.

Iklan
Iklan

Sepasukan anggota Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor terpaksa menggunakan pemotong besi untuk membuka pintu utama yang dikunci dari dalam.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Shukor berkata, anggotanya terpaksa mengambil masa kira-kira 30 minit untuk membuka pintu masuk premis terbabit.

Iklan

Katanya, selepas dibuka, premis dalam keadaan lengang, namun pemeriksaan teliti menjumpai kesemua wanita terbabit sedang bersembunyi di dalam ruangan khas tersebut bersama seorang lelaki warga Bangladesh disyaki pekerja premis.

Polis menahan 16 wanita warga asing disyaki pelacur dalam operasi Ops Noda di Jalan Bandar 19, Puchong, semalam.

"Semakan mendapati 15 wanita adalah warga Vietnam dan seorang lagi warga Indonesia.

Iklan

"Kita turut menahan dua lelaki tempatan serta merampas pelbagai barang seperti kondom, minyak urut, tisu, telefon bimbit serta wang tunai," katanya kepada Sinar Harian di lokasi serbuan.

Azmi mendedahkan, modus operandi premis diawasi kamera litar tertutup (CCTV) itu dipercayai menawarkan khidmat seks dengan harga RM180 malah wanita ini juga boleh 'ditempah' untuk satu malam dengan bayaran mencecah RM700.

Tambahnya, wanita itu akan diarah beratur di hadapan pelanggan untuk dipilih. Selepas dipersetujui, pelanggan akan dibawa baik ke tingkat atas.

"Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk siasatan lanjut. Kita akan teruskan operasi daripada semasa ke semasa bagi mencegah kegiatan pelacuran," katanya

Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen, Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Undang-Undang Kecil 1995.