KUALA LUMPUR - Persiapan istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan berlangsung pada 30 Julai ini berjalan lancar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkata, sebanyak 60 peratus persiapan telah dilakukan bagi menyambut hari bersejarah itu.
"Lagi 40 peratus itu untuk melihat perkara teknikal, dari segi hendak membuat persembahan, tengok pentas, khemah, makanan dan katering,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 kali kedua, di sini hari ini.
Mujahid berkata, persiapan rapi dilakukan bagi memastikan kesemua acara yang dirancang sempena istiadat pertabalan tersebut berjalan dengan sempurna.
Antaranya ialah Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Solat Hajat, Majlis Santapan Diraja, Lawatan Raja Permaisuri Agong ke Pusat Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur dan Pameran Raja Kita di Muzium Diraja, Kuala Lumpur.
Selain itu katanya, acara Khutbah Khas dan Solat Jumaat turut diadakan di Masjid Negara dengan khutbah yang disediakan secara khusus untuk dibacakan di seluruh negara.
Tambah Mujahid, warkah persilaan telah selesai diberikan kepada semua tetamu kehormat bagi meraikan istiadat pertabalan tersebut.
"Kami telah adakan persilaan (mempersembahkan warkah persilaan) kepada para tetamu dan turut menerima maklum balas kehadiran mereka sama ada dari dalam dan luar negara,” katanya. - Bernama