BEIJING - Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke China selama empat hari berjaya mencapai matlamat dengan mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan meningkatkan kesefahaman yang sedia terjalin antara Malaysia dan China.
Beliau, yang mengakhiri lawatan selama empat hari pada hari ini berkata, selain kerjasama dalam bidang politik dan ekonomi, kerajaan Malaysia juga berminat untuk menjalin kerjasama dalam mempelajari teknologi terkini dan kepakaran yang dimiliki republik berkenaan dalam beberapa bidang.
"Saya telah meminta agensi-agensi Malaysia yang berkenaan untuk mengambil tindakan susulan dengan agensi-agensi China yang berkaitan untuk memastikan persetujuan yang dicapai akan terlaksana," katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia, di sini hari ini.
Terdahulu, Dr Wan Azizah melakukan lawatan ke Pusat Pemulihan dan Penyelidikan Masalah Pendengaran dan Percakapan bagi Kanak-Kanak di China sebagai agenda terakhir dalam rangka lawatan rasmi beliau di China bermula Isnin.
Mengulas lanjut, beliau turut tertarik dengan kepakaran dimiliki China yang mampu mengesan sebarang masalah dan ketidakupayaan bayi seawal berusia tiga bulan.
"Di sini mereka mampu mengesan masalah lebih awal, merawat dan memulih selain melakukan penyelidikan dan menyediakan perkhidmatan 'home school' kepada mereka yang tidak berupaya ke sekolah.
"Kaedah yang diamalkan ini boleh kita amalkan di negara kita dan pusat itu menawarkan untuk membantu kita mencapai hasrat itu dan ini antara perkara yang akan kita perhalusi," katanya.
Beliau berkata, dalam pertemuan dengan para pemimpin kanan China pada hari kedua lawatan, kedua-dua pihak berpuas hati dengan status hubungan dua hala yang sedia erat dan komited untuk sama-sama memperkukuhkan lagi hubungan itu.
Antara persetujuan yang dicapai adalah untuk mempelopori kerjasama dalam bidang tadbir urus yang baik dan anti-rasuah serta kolaborasi dalam usaha memperkasa wanita, penuaan masyarakat dan program pembangunan bagi kanak-kanak istimewa.
Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, persetujuan juga dicapai dalam usaha mempertingkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan terutamanya dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Selain itu, China telah menzahirkan kesediaan untuk mengimport lebih banyak produk agro-komoditi Malaysia termasuk kelapa sawit dan getah di samping memperkukuhkan lagi kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan pertanian.
Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dalam bidang pengurusan dan pengurangan risiko bencana alam.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pada pertemuan bersama pelabur China semalam, sebilangan pelabur telah menyatakan minat untuk mempelopori usahasama untuk membangunkan Lembah Wawasan Malaysia.
Mengulas lawatan beliau ke Huawei semalam, Dr Wan Azizah berkata, pihak Huawei menyatakan kesediaan untuk mengukuhkan kerjasama strategik dalam bidang pendidikan terutamanya latihan kepada pelajar TVET Malaysia, pembangunan smart classroom dan sistem big data.
Syarikat pengeluar produk telekomunikasi terbesar dunia itu juga bersedia untuk membantu Malaysia dalam membangunkan smart/safe city dan aplikasi perkhidmatan dalam sektor kesihatan dan perubatan.
"Saya juga mengundang Naib Presiden, Wang Qishan dan Naib Perdana Menteri, Sun Chulan serta Penasihat Negara, Wang Yong untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bagi merapatkan lagi jalinan persahabatan yang sedia ada," katanya. - Bernama