KUALA LUMPUR - Malaysia sentiasa konsisten menyokong kemasukan Timor Leste sebagai anggota baharu negara ASEAN memandangkan ia terletak di dalam rantau geografi Asia Tenggara, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau sendiri telah mengulangi sokongan Malaysia pada Timor Leste ketika bertemu rakan sejawatnya Dr Dionisio da Costa Babo Soares yang melakukan lawatan ke Putrajaya, pada 1 dan 2 Julai lalu.
Iklan
Iklan
"Saya telah memaklumkan bahawa Malaysia sentiasa konsisten dengan pendiriannya menyokong Timor Leste untuk menyertai ASEAN sejak permohonan mereka dibuat pada 2011.
"Menteri Luar Timor Leste menyatakan penghargaan terhadap sokongan Malaysia dan memaklumkan bahawa kemajuan Timor Leste dalam memenuhi syarat-syarat penyertaan sebagai negara ASEAN sedang aktif dilaksanakan mereka," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang ingin tahu adakah Malaysia akan menyokong kemasukan Timor Leste sebagai negara ASEAN yang ke-11.
Saifuddin berkata ASEAN tidak menetapkan tempoh masa kemasukan Timor Leste namun negara-negara ASEAN telah bersetuju untuk mengadakan misi mencari fakta mengenai kesediaan negara itu menjadi anggota ASEAN.
Beliau berkata perkara itu akan dimulakan pada September ini dan Malaysia berharap ia menghasilkan dapatan yang positif sekali gus memungkinkan Timor Leste untuk menjadi anggota ASEAN secepat mungkin. - Bernama