32 pembeli rumah saman pemaju

Iklan
Mohd Hazwan (kanan) bersama Nuzul Fitri (kiri) menjelaskan sesuatu kepada dua wakil plaintif, Abu Bakar Mat Ali, 50, (dua dari kanan) dan Wan Mohd Ruslan Wan Abdullah, 38, selepas selesai memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU - Seramai 32 pembeli rumah mampu milik di sebuah taman perumahan Padang Setenga, Kuala Berang, Hulu Terengganu memfailkan saman terhadap pemaju perumahan berkenaan kerana gagal menyiapkan rumah dibeli mereka sekitar 2011 hingga 2015.

Kesemua mereka selaku plaintif memfailkan writ saman berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed melalui peguam cara, Mohd Hazwan Hamidun dan Nuzul Fitri Mohd Yoki dari Tetuan Rafaei & Co.

Iklan
Iklan

Menurut pernyataan tuntutan, pihak plaintif mendakwa rumah yang dibeli gagal disiapkan dan terbengkalai sehingga kini sedangkan dalam masa sama mereka membuat pinjaman dengan institusi kewangan seperti bank dan lain-lain.

Kesemua plaintif sudah menandatangani perjanjian jual beli dari 2011 hingga 2015 memfailkan sembilan tuntutan terhadap kedua-dua defendan termasuk menyiapkan rumah mereka dalam keadaan sempurna dan melaksanakan tindakan sepatutnya untuk memberikan milikan fizikal kepada mereka.

Iklan

Kedua-dua defendan dituntut menyiapkan rumah sepertimana di dalam kontrak yang telah ditandatangani kedua-dua pihak dan defendan diminta membayar ganti rugi am yang akan ditaksir di atas kesusahan dan kerugian plaintif sebagai ganti atau tambahan kepada pelaksanaan spesifik tersebut.

Defendan diminta membayar ganti rugi jumlah tertentu yang dipersetujui berdasarkan klausa 22 Perjanjian Jual Beli kepada plaintif selain diminta membayar ganti rugi teruk sebanyak RM100,000 setiap plaintif.

Iklan

Plaintif turut menuntut defendan membayar faedah 5 peratus setahun di atas jumlah ganti rugi yang ditaksirkan dari tarikh pemfailan saman dan pernyataan tuntutan sehingga ke tarikh penghakiman dan seterusnya sehingga penyelesaian penuh.

Selain itu, defendan dituntut menanggung kos di antara peguam dan anak guam yang akan ditaksirkan, kos tindakan ini dan lain-lain relif yang mahkamah fikirkan adil dan suai manfaat.