Air basuhan proses belacan punca parit tercemar

Iklan
Abdul Aziz (tiga dari kanan) menunjukkan parit di Kampung Baru Sungai Tiang, Bagan Datuk bertukar warna merah jambu ketika lawatannya hari ini.

BAGAN DATUK - Tiada pencemaran air berlaku di parit di Kampung Baru Sungai Tiang di sini seperti yang didakwa penduduk selepas air berkenaan berubah menjadi warna merah jambu.

Sebaliknya warna merah jambu berkenaan dikatakan adalah air basuhan hasil laut bagi pembuatan belacan dan bau busuk pula dikatakan berpunca daripada air yang bertakung di parit selepas gagal dilepaskan ke laut.

Iklan
Iklan

Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, perubahan warna air berkenaan tidak membabitkan bahan kimia dan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan hasil negatif.

"JAS dan Jabatan Kesihatan negeri mengambil sampel air dan hasilnya pemeriksaan mendapati tiada sebarang pencemaran bahan kimia serta masalah kesihatan yang dihadapi penduduk.

Iklan

"Bagaimanapun kita akan melakukan kerja-kerja pembersihan sekitar parit tersebut kerana pencemaran ini boleh mendatangkan ketidakselesaan penduduk di sini," katanya kepada media selepas melakukan tinjauan di kawasan terbabit hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan memastikan Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk bersama agensi kerajaan bertanggungjawab mengatasi pencemaran itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak masalah sama berulang.

Iklan

"Saya difahamkan jika anak sungai ini dibersihkan mendapan atau tanah pasir akan naik ke permukaan air semula dan masalah pencemaran seperti bau busuk akan berulang.

"Jadi saya mahu agensi terlibat dapat mengambil langkah sewajarnya supaya masalah ini dapat di atasi segera," katanya.

Sementara itu, Pengarah JAS Perak, Norazizi Adinan berkata, pihaknya sudah menjalankan lima siasatan sejak 2018 dan pemeriksaan sampel air dari premis terlibat sudah diambil pada 1 Julai lalu.

"Air berkenaan tidak tercemar dengan bahan kimia hanyalah air basuhan hasil laut iaitu udang cuma bau busuk yang dilaporkan penduduk adalah kerana air ini bertakung tidak lepas ke laut," katanya.