Pelantikan Najib dibuat pimpinan tertinggi BN: Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini. - Foto Sinar Harian Sharifudin Abdul Rahim

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) dipersetujui pemimpin dan Ahli Majlis Tertinggi parti dalam komponen itu.

Katanya, pelantikan tersebut pastinya mempunyai asas yang kuat untuk Najib memberikan pandangan dalam platform yang beliau pernah ketuai sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Ini ada kaitan bila UMNO memberi penghormatan kepada Tengku Razaleigh Hamzah menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat Parti dan sudah tentu beliau mempunyai beberapa idea seperti pelantikan Pengerusi Lembaga Penasihat BN," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Semalam, bekas Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tidak bersetuju tindakan parti itu melantik bekas Perdana Menteri itu sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Iklan

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga secara terbuka menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan BN melantik Najib.

Jelasnya, beliau terus mengubah pendirian bahawa kini dirinya tidak lagi gembira bersama UMNO selepas Najib dilantik mengisi posisi itu.

Iklan

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, mana-mana pihak berhak memberikan pandangan tetapi apa yang penting adalah semua pihak perlu melangkah ke depan membantu BN dan UMNO memperkukuhkan parti.

"Jika terdapat tokoh atau individu yang mempunyai idea terbaik bagi melalukan sesuatu yang berbentuk proaktif, ia amat dialu-alukan.

"Namun begitu, ia tidak begitu sesuai jika pandangan yang berbentuk mengetepikan kelebihan seseorang dalam sumbang saran dan memberikan sumbangan tenaga, apatah lagi mempunyai pengaruh yang boleh membawa generasi pelbagai kaum bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)," katanya.

Ditanya adakah akan ada individu lain bakal dilantik dalam Lembaga Penasihat BN, beliau berkata, akan ada wakil daripada MCA, MIC dan UMNO.

"Ada kemungkinan juga penasihat yang bukan daripada mana-mana parti politik dilantik," katanya.

Manakala Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelantikan Najib hanyalah sebagai penasihat dan bukannya Pengerusi BN.

"Beliau dilantik dalam lembaga penasihat dan di dalamnya itu bukan ada Najib seorang. Ada beberapa individu lain turut dipilih.

"Saya tidak nampak ada masalah kerana keputusan parti bukan dibuat oleh Lembaga Penasihat BN tetapi masih Jawatankuasa Induk BN.

"Mohamed Nazri dan Khairy boleh beri pandangan mereka tetapi keputusan akan dibuat pimpinan di peringkat BN," katanya.