DOHA – Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencipta sejarah sebagai universiti awam pertama membentuk kerjasama dengan rangkaian media Al Jazeera sebagai sebuah organisasi media bertaraf antarabangsa.
Kerjasama Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media itu dimeterai menerusi nota ditandatangani Naib Canselor, Prof Dr Mohd Azraai Kassim dan Pemangku Pengurus Besar Al Jazeera Media Network, Dr Mostefa Souag di Doha pada Selasa.
UiTM dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu menumpukan komitmen dalam hubungan dua hala yang erat untuk kerjasama bidang latihan industri bidang kewartawanan, komunikasi media dan latihan serta sangkutan industri kepada staf akademik.
Katanya, kerjasama itu bagi mewujudkan peluang bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai perkara bersifat kepentingan bersama dan gabungan program akademik.
Pertemuan itu turut membincangkan isu kepentingan bersama bagi mengukuhkan pengajian kewartawanan, komunikasi dan media di pelbagai peringkat pengajian.
Persefahaman berkenaan tindakan lanjut UiTM susulan lawatan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ke Al Jazeera pada April lalu.
"Beliau (Maszlee) menyatakan harapannya untuk melihat pengamal media Malaysia mengembangkan bakat mereka sehingga ke tahap global dan membanggakan Malaysia di persada dunia.
"Kerjasama ini menunjukkan sokongan berterusan UiTM terhadap visi Malaysia dalam menyediakan pendidikan bertaraf dunia,” katanya.
Delegasi UiTM disertai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Profesor Ts. Dr Mohamad Kamal Harun; Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Profesor Dr Azizul Halim Yahya; Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi (CMIWS), Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman dan Timbalan Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Dr Massila Hamzah.