BATU CAVES - Tempoh 24 jam diperuntukkan oleh agensi terlibat untuk mengalihkan 52 pokok tumbang susulan kejadian ribut sekitar DUN Sungai Tua dan Taman Templer jam 6 petang, semalam.
Antara yang terjejas dalam kejadian itu adalah Kampung Laksamana, Selayang Baru, India Settlement, Wira Damai, Kampung Bendahara dan Kampung Nakhoda.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, sekurang-kurangnya 125 rumah mengalami kerosakan.
Menurutnya, daripada jumlah itu hanya dua keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Laksamana di sini selepas rumah mereka tidak selamat diduduki.
"Tempoh seminggu diperlukan untuk proses dan penilaian kos sebelum kerja pembaikan dimulakan.
"Setakat hari ini penumpuan kerja adalah melibatkan kerja pembersihan pokok tumbang.
Ia disusuli proses pembayaran saguhati oleh kerajaan negeri dengan nilai maksimum RM500 bergantung kepada tahap kerosakan," katanya selepas meninjau PPS Dewan Serbaguna Kampung Laksamana hari ini.
Beliau berkata, Pejabat DUN Sungai Tua tidak menolak untuk menyegerakan baik pulih tempat awam seperti sekolah dan dewan masyarakat.
"Ia mengelak gangguan proses persekolahan dan persiapan peperiksaan. Setakat ini dua sekolah dikenal pasti terjejas melibatkan bumbung terbang," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan sejumlah RM400,000 diperuntukkan untuk kos baik pulih rumah melibatkan 139 keluarga di Felda Soeharto yang terjejas susulan ribut Jumaat lalu.