Usia belia: Syed Saddiq sedia mengadap Istana Johor

Iklan
Syed Saddiq -Foto Sinar Harian Asril Aswandi Shukor

SHAH ALAM - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan kesediaan untuk mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi memberikan penjelasan berhubung pindaan had umur belia kepada 15 hingga 30 tahun, daripada 15 kepada 40 tahun sebelum ini.

Mengakui kecewa kerana wujud campur tangan dalam perkara tersebut walaupun telah menerima persetujuan daripada kerajaan negeri, beliau menjelaskan kerajaan berpendirian tegas meneruskan pindaan umur itu di setiap negeri.

Iklan
Iklan

"Kita sudah bincang lama dengan Exco Belia dan Sukan setiap negeri dan dapat persetujuan. Cuma di negeri tertentu mereka memohon agar ada transisi tapi ada pihak kata jangan campur tangan dalam urusan negeri. Itu saya tak faham.

"Apa pun, saya bersedia untuk berjumpa Tuanku jika wujud keperluan tetapi saya tekankan lagi sekali, akta akan berkuatkuasa pada Disember 2021 dan sekarang proses transisi harus bermula,” katanya pada sidang media selepas Wacana Sinar Harian Ke-116 Mengundi Umur 18 Tahun: Siapa Yang Untung? di sini hari ini.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Johor kembali kekalkan had umur belia kepada 40 tahun

Semalam, media melaporkan tidak sampai 12 jam membuat keputusan menerima pindaan berhubung had umur belia dari 15 hingga 30 tahun, kerajaan Johor membuat pusingan U apabila kembali mengekalkan semula had umur golongan tersebut kepada 40 tahun seperti diumumkan sebelumnya.

Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, keputusan itu dibuat setelah melalui perbincangan lanjut dan mengambil kira nasihat beberapa pihak.

Isnin lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dalam satu kenyataan berkata kerajaan negeri mengekalkan had umur belia antara 15 hingga 40 tahun.

Tidak lama selepas itu, Sheikh Umar memberitahu, kerajaan negeri menerima baik pindaan had umur belia 15 hingga 30 tahun seperti dibincangkan dalam mesyuarat Exco selaras dengan keputusan Kerajaan Pusat.