JAS tunggu keputusan 206 kilang lagi

Iklan
Wan Abdul Latiff

JOHOR BAHRU - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sedang menanti keputusan 206 lagi kilang kimia yang masih belum memutuskan untuk bersetuju dengan arahan mandatori kerajaan agar menjadikan 111 sekolah di Pasir Gudang sebagai sekolah angkat.

Pengarahnya, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, pihaknya difahamkan pengurusan tertinggi kilang-kilang tersebut masih belum membuat keputusan.

Iklan
Iklan

"Kami sedang susul dengan kilang-kilang lain. Sebelum ini wakil kilang yang hadir sesi townhall memaklumkan bahawa mereka perlu mendapatkan keputusan pengurusan tertinggi kilang," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Azman Adnan dilaporkan mengesahkan hanya 44 buah kilang yang telah menyatakan persetujuan untuk menjadikan sekolah di kawasan pencemaran sebagai sekolah angkat.

Iklan

Minggu lalu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin mengumumkan semua kilang kimia di Pasir Gudang perlu menjadikan 111 sekolah di Pasir Gudang sebagai sekolah angkat dan menanggung kos pembelian alat pengesan gas di sekolah tersebut.

Keputusan itu diambil selepas mengadakan sesi townhall bersama wakil industri di Menara Aqaba Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Iklan

Mengulas lanjut, Wan Abdul Latiff berkata, kilang-kilang tersebut mempunyai tempoh dua minggu untuk membuat keputusan.