SINDH - Pada usia lapan bulan Afsheen Kumbar, 11, dari Pakistan terjatuh ketika bermain di luar rumah. Tragedi itu mengubah hidupnya apabila ia menyebabkan kepalanya membongkok pada sudut 90 darjah.
Disebabkan kurang berkemampuan, kecederaan Afsheen tidak dirawat sehingga ia menjadi teruk dan mengalami gangguan otot pada leher dikenali sebagai torticollis.
Torticollis boleh berpunca daripada kecederaan pada tulang belakang atau otot leher yang mengakibatkan otot leher kejang atau pitam.
Keadaan itu membuatkan dia hidup dalam kesakitan selain menyukarkannya untuk makan, ke tandas dan susah berjalan.
Selain itu, ia juga menghalang Afsheen ke sekolah dan hanya menghabiskan masa di rumah bersama ibunya, Jameelan, 52, dan abang Mohammad Yaqoob Kumbar, 27.
Selepas bapa Afsheen meninggal dunia akibat kanser tahun lalu, keluarganya tidak mampu menampung wang pembedahan bagi membantu memulihkan kanak-kanak itu.
Kisah Afsheen mendapat perhatian dunia dua tahun lalu yang membawa kepada tawaran untuk menaja pembedahannya daripada seorang pemimpin wanita.
Februari lalu, Afsheen dibawa ke Hospital Universiti Agha Khan di Karachi untuk menjalani pemeriksaan.
"Doktor beritahu peluang untuk pembedahan berjaya hanya 50 peratus dan minta kami pulang untuk memikirkannya.
"Selepas sebulan pemimpin yang berjanji untuk menaja pembedahan Afsheen tidak membalas panggilan kami dan terus senyap,”jelas Mohammad Yaqoob.
Katanya lagi, mereka sekeluarga tidak mempunyai wang untuk membawanya ke hospital dan dia terpaksa berhenti kerja bagi menjaga adiknya.
"Kami ada membawanya berjumpa doktor tempatan di bandar namun mereka beritahu hanya pakar boleh merawat Afsheen. Dia juga menasihatkan kami mendapatkan rawatan di luar negara.
"Saya merayu kepada kerajaan dan penduduk setempat untuk membantu adik saya. Dia perlu dibedah untuk hidup normal,”ujarnya. - Daily Mail