Raja Gulai Kawah Daging dicari!

Iklan
Najmiah mengetuai perbincangan sebagai persiapan penganjuran Program Melarik Bintang 27 dan 28 Julai nanti.

SUNGAI PETANI- Pengiktirafan Raja Gulai Kawah Daging secara rewang antara ditunggu-tunggu sempena Program Melarik Bintang di Kolej Komuniti Sungai Petani (KKSP) hujung bulan ini.

Pengarahnya, Najmiah Abdullah berkata, pengiktirafan itu akan diberikan kepada pemenang pertandingan cabaran praktikal kategori Raja Gulai Kawah Daging yang turut dibuka kepada orang ramai pada 27 dan 28 Julai nanti.

Iklan
Iklan

Menurutnya, buat pertama kali KKSP bekerjasama dengan Persatuan Jurukulinari Kedah menganjurkan program berkenaan berkonsepkan pertandingan berasaskan masakan.

"Selain komuniti setempat, KKSP juga menyasarkan penyertaan pelajar institusi pendidikan sekitar utara sebagai pendedahan dalam bidang ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata, sepanjang program berlangsung, kursus pendek dengan bayaran minima akan dibuka bagi memberi peluang kepada masyarakat meningkatkan kemahiran dan menjana pendapatan tambahan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Jurukulinari Kedah, Dr Reezlin Abd Rahman berkata, kumpulan yang dinobatkan Raja Gulai Kawah Daging bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 dengan hanya RM250 yuran penyertaan bagi satu kumpulan, dengan bilangan tiga peserta setiap kumpulan.

Iklan

Menurutnya, antara pertandingan lain termasuk penyediaan pulut kuning dan rendang, cucur udang, kuih talam, ukiran sayuran dan buah-buahan selain cabaran seni Latte dan Moktel yang menawarkan pingat kepada pemenang.

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi Chef Wan Rathnor di talian 011-17645780 dan pendaftaran dibuka sehingga 15 Julai 2019.