JOHOR BAHRU - Alat pengesan gas yang diletakkan di sekolah Pasir Gudang menjadi indikator awal bagi mendapatkan bacaan gas Volatile Organic Compounds (VOC).
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, pihak sekolah akan terus menghubungi pihaknya jika didapati bacaan VOC pada alat tersebut agak tinggi.
"Sekolah akan maklum kepada JAS jika bacaan VOC itu agak tinggi dan JAS akan guna alat yang lebih sensitif di mana kita akan pecah-pecahkan VOC yang dikesan untuk kenal pasti gas yang ada.
"Apabila sekolah dapat bacaan awal, maknanya tindakan awal boleh diambil dengan kosongkan bilik darjah di tingkat atas. Itu tujuannya.
"Sebab untuk kita (JAS) ada 24 jam di sekolah agak sukar, banyak kekangan jadi kita sama-sama dapat bantuan pihak sekolah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Sebelumnya, pembekal berkaitan peralatan perlindungan diri (PPE) yang juga Ketua Bahagian MCA Pasir Gudang mempertikaikan tindakan kerajaan membekalkan alat pengesan gas yang didakwanya tidak sesuai ke 111 sekolah di Pasir Gudang susulan gangguan kesihatan dialami sejak 20 Jun lalu.
Dalam pada itu, Wan Abdul Latiff turut mengakui alat pengesan gas yang dibekalkan tidak dapat beroperasi selama 24 jam susulan kekangan bateri.
"Ya (bateri efektif untuk 16 jam sahaja) tapi kita tidak bergantung sangat pada pihak sekolah sebab JAS buat pemantauan guna Gasmet (Gas Analyser) siang dan malam di sekolah-sekolah yang terlibat. Sekolah cuma bantu sahaja.
"Sebab kalau tiba-tiba pelajar pengsan panggil JAS dan kita pergi, gas sudah tak ada," katanya.
Namun beliau menafikan alat tersebut tidak sesuai digunakan di kawasan terbuka seperti sekolah malah menurutnya, alat itu mudah dikendalikan.
"Sebenarnya dah ditetapkan tiga jenis gas iaitu VOC, hidrogen sulfat, karbon monoksida dan oksigen pada alat pengesan gas itu
"Alat itu gunanya mudah sahaja dan sudah diberi tunjuk ajar. Senang, sangat mudah cikgu sains tak ada masalah, mereka mesti tahu," katanya.