Mengurus manusia tidak bernyawa

Iklan
WALAUPUN hukum pengurusan jenazah ia;ah fardu kifayah, namun penting bagi umat Islam mempelajarinya dan boleh dipraktikkan ketika berlaku kematian ahli keluarga sendiri. -FOTO: BERNAMA.

SEORANG ibu tidak pernah gagal untuk memandikan anak-anaknya walaupun sudah besar panjang. Begitu juga seorang bapa yang tidak pernah kekok untuk membersihkan anaknya sendiri.

Namun, apabila masing-masing sudah menginjak dewasa, bolehkah hal yang sama kita lakukan terhadap kedua ibu bapa kita?

Iklan
Iklan

Lebih-lebih lagi apabila mereka menuju perjalanan terakhir ketika dijemput oleh Sang Pencipta untuk menghadap-Nya. Sebagai anak, mampukah kita berbuat demikian?

Seperkara, harus diakui tidak ramai yang sanggup menjadikan bidang pengurusan jenazah sebagai kerjaya pilihan. Kebanyakan mereka yang bertugas dalam bidang itu ialah orang yang sudah berusia. Untuk melihat kelibat orang muda, memang payah.

Iklan

Pastinya ia mempunyai kaitan dengan tanggapan masyarakat selama ini yang cepat berasa gelisah dan tidak selesa apabila berhadapan dengan jasad yang tidak bernyawa.

Perasaan pasti akan bercampur-baur. Sememangnya, itu memang menjadi fitrah seorang manusia apabila berhadapan dengan sekujur mayat.

Iklan

Namun, hal itu tidak menjadi masalah kepada tiga pengurus jenazah daripada syarikat pengurus jenazah terkemuka, Bumijez Sdn Bhd (Bumijez) yang ditemui Sinar Islam baru-baru ini di ibu pejabat mereka di Bandar Puchong Jaya, Puchong, Selangor.

Mereka terdiri daripada dua orang jurumandi jenazah, Ustaz Mohd Zainal Khamis dan Mohd Hafis Khairuddin serta seorang pemandu van jenazah, Muhammad Afiq Safwan Md Kamal. Ketiga-tiga lelaki yang elok budi pekerti berkata, barangkali mereka sudah 'dipilih' oleh ALLAH SWT memikul tanggungjawab itu.

Ujar ketiga-tiga lelaki itu, meskipun jenazah yang diuruskan bukan dalam kalangan ahli keluarga sendiri, namun mereka wajib melunaskan peranan mengendalikannya dengan sebaik mungkin sebagai saudara seagama.

Kepada Sinar Islam, mereka berkongsi cerita dan cabaran dengan kerjaya itu.

Pendedahan sejak kecil

Sesi temubual dimulakan dengan Ustaz Mohd Zainal, 54, selaku Pengerusi Eksekutif Bumijez.

Bekas Penolong Pendaftar Nikah di Masjid Jamek Batu 12, Puchong, Selangor itu berkata, sejak usianya 10 tahun, beliau sudah didedahkan dengan tugas mengurus jenazah oleh noja (siak) masjid.

Mana tidaknya, rumahnya di sebuah kampung di Ayer Hitam, Muar, Johor betul-betul terletak berhadapan dengan masjid.

"Ketika itu, bukanlah saya mandikan jenazah sepenuhnya, cuma menolong sahaja dan ketua jurumandi yang akan menguruskannya. Dari situ timbulnya kesedaran untuk menggalas tanggungjawab fardu kifayah itu," katanya.

Meskipun ketika itu hanya bertugas secara sambilan, namun, apabila Ustaz Mohd Zainal menjadi bilal di masjid berkenaan, beliau mula serius dalam bidang pengurusan jenazah kira-kira 25 tahun yang lalu.

Kini, Ustaz Mohd Zainal menggunakan semua pengalaman itu untuk diaplikasikan dalam pengurusan Bumijez yang diambil alih sejak 2014.

Jenazah bukan untuk ditakuti

USTAZ MOHD ZAINAL

Sepanjang pengalamannya, akui Ustaz Mohd Zainal, beliau tidak pernah terjumpa kes-kes yang pelik seperti kehadiran haiwan di sisi jenazah atau jenazah bertukar menjadi haiwan lain yang seringkali dimomokkan dalam kaca televisyen.

Tegas beliau, jenazah bukan untuk ditakuti sepertimana persepsi negatif yang sering menjadi bahan percakapan.

Firman ALLAH SWT:"Maka, barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barang siapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya." (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

"Sebenarnya, menurut pandangan Islam, apabila ALLAH hendak ambil hamba-Nya, sudah semestinya Dia ambil dengan cara terbaik waima dosanya bagaimana sekalipun. Kalau ada dosa, itu dosa si mati dengan ALLAH.

"Sebab itulah kelebihan kita orang Islam. Kita telah bersyahadah dengan mengakui 'Tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH dan Nabi Muhammad SAW itu pesuruh-Nya' dan atas akidah itulah percayalah cakap saya, bila ALLAH hendak ambil orang Islam itu, ALLAH akan ambil dengan cara yang terbaik," katanya.

Ketika diwawancara, beliau juga sempat menegur sikap sebilangan masyarakat yang jarang memandikan jenazah suami atau isteri sendiri sedangkan dalam Islam, kita digalakkan berbuat demikian. Malah, beliau menggalakkan jurumandi untuk mengajak waris memandikan jenazah ahli keluarga mereka.

Selain menguruskan jenazah yang normal, Ustaz Mohd Zainal turut mengendalikan urusan jenazah mangsa kemalangan.

"Cara pengurusannya sama sahaja seperti jenazah yang normal, cuma kesusahan untuk menguruskannya ditangani dengan pengalaman," ujarnya yang turut mengendalikan kursus jenazah termasuk yang berisiko seperti jenazah berulat, rentung dan berpenyakit.

Bercerita lanjut, Ustaz Mohd Zainal meluahkan rasa kesal terhadap sebilangan masyarakat yang memberi persepsi kurang tepat terutamanya terhadap jenazah yang berpenyakit seperti HIV.

"Antara HIV dan tibi, sebenarya penyakit tibi lebih berbahaya. Kami pun kena berjaga-jaga ketika menguruskan kes sebegini. Namun, pemahaman masyarakat yang kurang menganggap jenazah HIV berbahaya seolah-olah ia lagi teruk daripada tibi untuk tujuan mengaibkan," katanya.

Cabaran

MOHD HAFIS

Itu kisah orang yang berpengalaman. Namun, apa yang dialami oleh Mohd Hafis berbeza dengan Ustaz Mohd Zainal walaupun kedua-dua mereka ialah sepupu.

Bayangkan, sudahlah kali pertama memandikan jenazah, Mohd Hafis diberikan tugasan untuk menguruskan jenazah yang berulat sekitar tahun 2014.

Mujur anak muda itu tidak mudah melatah. Sebaliknya, menjalankan tanggungjawab itu dengan hati yang tenang.

"Saya masuk dalam bidang ini dengan niat yang baik. Pada masa sama, saya turut berdoa dan minta kepada ALLAH SWT, janganlah tunjukkan apa-apa aib pada diri saya dan juga jenazah serta meminta supaya segala urusan dipermudahkan.

"Lazimnya, sebelum memulakan tugasan, saya akan berjumpa dengan ahli keluarga atau waris untuk meminta izin mereka. Saya juga mengajak waris untuk bersama-sama menguruskan jenazah," katanya yang menguruskan pelbagai bentuk kes kematian terutama di hospital.

Ujar Mohd Hafis, 31, ada satu peristiwa tidak dapat dilupakannya. Kisah itu berlaku pada tahun lalu melibatkan isteri yang kematian suami akibat kemalangan. Mereka baru sahaja berkahwin.

"Saya mengajak isterinya untuk sama-sama memandikan jenazah suaminya. Saya lihat beliau memandikan suaminya dengan penuh kasih sayang, disentuh jasad suaminya dan digosok perlahan-lahan. Mulutnya pula seakan-akan berdoa kepada ALLAH SWT.

"Peristiwa itu benar-benar membuatkan hati saya tersentuh. Saya juga ceritakan kisah itu kepada isteri dan beliau turut bersedih," ceritanya sebak.

Hidu kapur barus

Ditebak soalan tentang tanda-tanda yang dirasainya sebelum menerima tugasan menguruskan kematian, Mohd Hafis berkata, beliau akan terhidu bau serbuk kapur barus.

"Itu petanda awalnya. Apabila sudah hidu, saya sudah boleh agak apa akan berlaku pada hari berkenaan," ujarnya yang menceburi bidang pengurusan jenazah selepas berasa 'terpukul' apabila mendengar ceramah seorang ustaz tentang tanggungjawab anak untuk memandikan jenazah ibu bapa.

Pun begitu, beliau mengakui, tidak ramai anak muda yang mahu bekerja sebagai jurumandi jenazah dan mendalami ilmu fardu kifayah.

"Sebenarnya, dalam kursus pengurusan jenazah, ramai golongan muda yang datang. Seronok bila mereka datang dan dapat buat praktikal. Ya, memang mereka boleh buat, tetapi hendak menghadapi situasi yang sebenar, ia agak sukar. Keberanian dan keyakinan kurang ada pada diri mereka," kata bekas mekanik itu.

Kepada satu soalan, Mohd Hafis berkata:"Cerita tentang badi mayat itu semuanya daripada mainan syaitan sebenarnya. Ia terlalu bermain di fikiran masyarakat.

"Bila kita lemah begitu, syaitan akan mulalah hendak ganggu. Setakat ini, alhamdulillah, saya tidak mengalami gangguan.

"Walaupun kadangkala saya penat sangat kalau balik tengah-tengah malam, saya akan basuh kaki, ambil wuduk dan tidur," katanya.