BAGI pemandu van jenazah, Muhammad Afiq Safwan Md Kamal, percaturannya meninggalkan kerjaya tetap sebagai penyelia tapak tujuh tahun lalu tidak pernah dikesalinya.
Malah, kata beliau, pekerjaan yang jarang-jarang menjadi pilihan anak muda itu memberikan pengalaman berharga buat dirinya.
Ujar jejaka berusia 28 tahun itu, sepanjang tempoh itu, beliau bersyukur tiada peristiwa pelik berlaku.
"Orang selalu tanya saya tak takut ke bawa van jenazah? Mereka seolah-olah pelik apabila saya katakan tiada apa-apa berlaku. Bagaimana saya mahu nyatakan ya jika tidak pernah mengalami perkara-perkara mistik.
"Sebenarnya, ia cuma hanya mainan perasaan sahaja. Jika kita rasakan ada 'benda' itu, berzikirlah. Cuma, saya sering mengingatkan diri sendiri, setiap kali memandu, ALLAH sentiasa ada. Keyakinan kepada ALLAH itu membuatkan kita berjaya melawan perasaan yang bukan-bukan," ujarnya yang membawa van jenazah di merata tempat di seluruh negara.
Sebelum memandu van jenazah, Muhammad Afiq mengumpul pengalaman sebagai jurumandi jenazah sejak usianya 16 tahun.
"Saya mengenali orang rumah saya yang juga anak kepada Ustaz Mohd Zainal Khamis (Pengerusi Eksekutif Bumijez Sdn Bhd) sejak zaman sekolah lagi. Apabila diminta mengikut ustaz mengurus jenazah, saya ikut saja. Ingatkan hanya sekadar jadi peneman, rupa-rupanya saya juga 'dipaksa' untuk memandikan jenazah.
"Ketika itu juga, saya ditinggalkan berseorangan bersama jenazah, sementara ustaz pula ke berjumpa waris dan menguruskan perkara berkaitan. Bayangkan bercampur-baur perasaan saya ketika itu," ujarnya sambil tertawa mengimbas kembali detik awal penglibatannya dalam bidang pengurusan jenazah.
Sementara itu, pendakwah Ustaz Fauzi Mustafa berkata, tugas orang yang menguruskan jenazah begitu mulia pada sisi agama kerana ia banyak disebutkan dalam hadis tentang fadilatnya.
Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda:"Sesiapa yang memandikan jenazah lalu dia sembunyikan keaiban pada jenazah itu, maka diampunkan untuknya 70 dosa besar." (Riwayat al-Tabrani)
Jelas agamawan itu, ganjaran besar itu diharap dapat memberikan motivasi kepada semua orang terutama anak-anak muda untuk mendalami bidang pengurusan jenazah.
"Kita mandikan jenazah dan bersihkan jasadnya, ALLAH pula akan membersihkan hati kita," katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.
Menjawab satu soalan, Ustaz Fauzi berkata:"Kadangkala orang nampak menguruskan jenazah itu payah mungkin sebab ia fardu kifayah. Sebenarnya, bila ilmu itu tidak dipelajari, ia akan jadi payah," ujar beliau.
(ARTIKEL BERKAITAN: Mengurus manusia tidak bernyawa)