Cikgu tadika terkejut arnab ternakan mati secara misteri

Iklan
Kesan pagar dipotong yang dipercayai menjadi akses si pelaku ke kandang arnab. (Kanan: Antara arnab yang ditemui mati pagi semalam.)

PUCHONG - Luluh hati seorang guru taman bimbingan kanak-kanak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Puchong Utama Court 2 di sini apabila 10 ekor arnab yang dipelihara di tabika itu ditemui mati dalam keadaan menyayat hati.

Norashikin Mohd Kassim, 33, berkata, kejadian disedari pagi semalam apabila pembantunya ke sangkar terletak di belakang bangunan tabika untuk memberi makan haiwan peliharaan itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua haiwan terbabit didapati sudah tidak bernyawa, lembik selain mulut berlumuran darah.

"Memang dah jadi rutin setiap pagi, pembantu saya akan beri makan kepada arnab-arnab dan seekor ayam serama yang dipelihara sejak setahun lalu.

Iklan

"Kami terkejut dengan apa yang berlaku kerana kehadiran haiwan itu tak ganggu sesiapa pun. Peristiwa ini menyebabkan bukan saja guru bersedih malah ada ibu bapa yang menangis sebaik melihat keadaan haiwan itu,” katanya.

Norashikin berkata, dia tidak tahu punca kematian haiwan terbabit namun sudah membuat laporan polis bagi siasatan selanjutnya.

Iklan
Kesan pagar dipotong yang dipercayai menjadi akses si pelaku ke kandang arnab. (Kanan: Antara arnab yang ditemui mati pagi semalam.)

Katanya, haiwan itu dipelihara bagi memenuhi aktiviti luar 54 kanak-kanak sesi pagi dan petang di tabika itu.

"Saya tak tahu siapa yang lakukan perbuatan tidak bertanggungjawab ini dan apa motifnya, kalau nak kata ‘kerja’ anjing liar mustahil sebab pintu pagar sangkar yang terkunci diumpil dan kuncinya terkopak.

"Rentetan kejadian ini kami kini bimbang dengan keselamatan warga sekolah tabika di sini,” katanya.

Terdahulu, Norashikin mendakwa tabika itu pernah dipecah masuk enam tahun lalu dan penjenayah melarikan sebuah televisyen serta bekalan makanan yang disimpan di stor dapur.

Dua bulan lalu pula pihaknya mendapati terdapat kesan pagar sekolah digunting namun tiada apa-apa kehilangan dilaporkan.

"Kami tidak tahu siapa yang lakukan perbuatan ini namun berharap polis menjalankan siasatan sewajarnya,” katanya.